Monday, October 17, 2011

Gunung Nuang - Kumpulan KWSP Klang (15 Oktober 2011)


Terubat rindu BKG ingin ke gunung lagi, sudah lama tak main kotor. Pada Sabtu 15 Oktober 2011 lepas BKG sekali lagi menjadi guide membawa 1 kumpulan besar dari KWSP Klang seramai 36 orang, cuma kali ini BKG hanya membantu Mohamad Najid dan juga Amir dalam menjayakan akiviti yang diuruskan. BKG terdiri daripada 4 ahli, Emy, Sazwan, Aiman dan Fadli selain itu kami juga bekerjasama dengan ketua penganjur Najid dibantu Amir dan Nadirah.

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan selamat walaupun matlamat asal tidak dapat dicapai, menurut atas kertas matlamat ingin menawan puncak Gunung Nuang. Akibat masa yang tidak mencukupi, matlamat itu terpaksa dilupakan atas faktor-faktor keselamatan. Secara keseluruhnya kami berjaya membawa kumpulan ini selamat ke Kem Pacat dan turun semula ke tempat berlepas. Pencapaian yang ditunjukkan para peserta membuatkan kami berasa kagum kerana peserta terdiri dari warga veteran, pertengahan, wanita dan kanak-kanak.

Taklimat dan kata-kata aluan

Bacaan doa dari Najid

Pendakian bermula

Aktiviti bebas

Aktiviti bebas

Tahniah dari BKG kepada semua peserta, permulaan yang baik. Tahniah juga kepada semua guider kerana berjaya sekali lagi membawa 1 kumpulan yang besar mendaki Gunung Nuang. Diharapkan kelemahan-kelemahan dan kesilapan-kesilapan dalam menjadi guider dapat diperbaiki dan tidak diulangi, insyaALLAH.




Wednesday, September 14, 2011

Tentatif Aktiviti Baru

Sudah lama BKG bercuti, terasa rindu pada bauan tumbuhan hijau, kejernihan air terjun dan keriuhan bunyi serangga. Disini BKG mengalukan kepada semua yang mempunyai aktiviti pendakian atau yang seangkatan denganya dan ingin di paparkan dalam blog ini boleh berbuat demikian dengan menghantar tentatif di alamat emel berikut- chip_munks85@yahoo.com.

Kami di BKG akan mengemaskini tentatif aktiviti dilaman blog kami untuk tatapan umum, tiada bayaran dikenakan untuk itu. Ini bagi memudahkan peserta-peserta yang meminati sukan lasak ini untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan, selain memudahkan peserta untuk mencari aktiviti gunung. Untuk makluman, tentatif perlulah lengkap dengan nombor untuk dihubungi, yuran penyertaan, tarikh dan masa yang lengkap

Wednesday, August 24, 2011

Salam Aidilfitri 2011

Kami dari BKG ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang mengenali kami, menyusun 10 jari memohon kemaafan sekiranya ada salah & silap. Semoga Aidilfitri tahun ini lebih memberi makna dan kegembiraan kepada semua, InsyaALLAH.

Aktiviti BKG InsyaALLAH akan diteruskan selepas Aidilfitri ini, kami akan merancang aktiviti sepanjang tahun ini. Sentiasa menjengah BKG untuk mengetahui aktiviti seterusnya, InsyaALLAH.


Selamat Hari Raya Aidilfitri
maaf & ampun


Sunday, July 31, 2011

Salam Ramadhan dari BKG

Salam Ramadhan kami ucapkan kepada semua umat Islam seluruh Malaysia dan dunia, di kesempatan ini BKG ingin memohon maaf sekiranya ada salah dan silap sepanjang pembabitan kami. Di harapkan pada bulan yang mulia ini kita semua memperolehi keberkatan dari ALLAH S.W.T, BKG juga mengharapkan kita semua dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna dan penuh keimanan, InsyaALLAH...


SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK
IKHLAS DARI BKG


Monday, July 18, 2011

17 Julai 2011 - Guider- Kem Lolo, Gunung Nuang (Vol 2)

Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar pada aktiviti 17 Julai yang lalu, semua peserta, pensyarah dan guider yang mengikuti aktiviti ini selamat naik dan turun. Tiada masalah yang terlalu serius yang dihadapi kali ini cuma ada seorang peserta mengalami sesak nafas (lelah) dan beberapa peserta yang mengalami kekejangan otot. Walaupun begitu mereka masih lagi bersemangat dan terus berjalan dan mendaki untuk bersama-sama peserta-peserta yang lain untuk sampai ke destinasi yang dituju iaitu Kem Lolo.

Pembahagian makanan dan minuman kepada peserta ↑

Taklimat ringkas dari wakil BKG dan bacaan doa dari Amir ↑

Perjalanan bermula kira-kira jam 9:30 pagi, kesemuanya kelihatan begitu bersemangat dan bertenaga ↑

Tiba di wakaf akhir kira-kira 12:30 tengahari, terpancar wajah kepenatan tetapi masih tetap bersemangat ke destinasi dituju ↑

Setelah berehat hampir 15 minit, pendakian ke Kem Lolo bermula. Perjalanan sedikit mencabar dengan keadaan jalan yang agak kecik dan sempit selain terpaksa melintas beberapa anak sungai ↑

Kira-kira jam 1:45 tengahari kesemua peserta tiba ke destinasi yang dituju, Kem Lolo. ↑

Waktu yang ditunggu-tunggu para peserta dan 2 pensyarah yang turut mengikuti aktiviti ini, makan tengahari. Jelas kelihatan peserta kelaparan dan kepenatan! ↑

Peserta bergambar kenangan di Kem Lolo sebelum turun meneruskan perjalanan balik ↑

Penerimaan plak penghargaan daripada peserta yang disampaikan oleh Puan Warti sambil disaksikan Puan Fazida kepada wakil BKG, terima kasih diatas penghargaan ini. ↑


Kami dari BKG mengharapkan semua peserta dan 2 pensyarah yang mengikuti aktiviti ini berpuas hati dengan perkhidmatan kami, jika terdapat kekecewaan mahupun kesilapan dari kami mohon dimaafkan. Ucapan jutaan terima kasih juga kepada semua, diatas penghargaan yang diberikan kepada BKG. Kami dari BKG mengharapkan serta mendoakan semua peserta dari Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi berjaya dalam pembelajaran dan mencapai apa yang dicitakan, INSYAALLAH. Kepada 2 puan yang turut mengikuti aktiviti kali ini, terima kasih kami ucapkan atas layanan mesra yang diberikan, puan memang best! Kepada Azman, ucapan terima kasih juga dan tahniah kerana berjaya dalam mengetuai peserta. BKG juga ingin mengucapkan tahniah kepada guider-guider kerana berjaya dalam aktiviti yang seramai 44 peserta ini, BKG BOLEH!!

Terima Kasih semua...........



Tuesday, July 12, 2011

17 Julai 2011 - Guider- Kem Lolo, Gunung Nuang (Vol 1)

Sekali lagi BKG menjadi guider, kali ini peserta dari Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam Bangi. Dijangkakan peserta seramai 70 orang yang diketuai oleh Azman (wakil peserta). 45 wanita & 25 lelaki juga terdapat 2 pensyarah yang akan menyertai mereka. Aktiviti yang cuba diadakan peserta lebih kepada penerokaan hutan melihat flora & fauna selain membuat penyelidikan mengenai hutan.

Ini merupakan 1 penghargaan kepada BKG kerana dipilih sekali lagi untuk menjadi guider, untuk rekod ini merupakan jumlah peserta yang teramai yang dibawa sejak BKG ditubuhkan. Terima kasih diucapkan kepada mereka-mereka yang mendapatkan perkhidmatan BKG, ucapan terima kasih juga diatas kepercayaan yang diberikan.

InsyaALLAH kami dari BKG akan memberikan yang terbaik kepada para peserta, itu janji kami!

VOL 2 <-- klik link


Sunday, July 3, 2011

Gunung Nuang - Laluan Baru (3 Julai 2011)

Mungkin ramai yang sudah menawan puncak gunung tertinggi Selangor, Gunung Nuang. Ramai juga yang sudah sedia maklum tahap kekerasan dan kepayahan trek pendakian selepas Kem Pacat ke puncak gunung. Hanya yang benar-benar mempunyai ketahanan mental yang kuat mampu menawan puncak ini, tahap kesukaran pada laluan banyak membuatkan ramai yang kecundang dan berpatah balik.

Dalam pada ingin menawan puncak gunung ini mungkin ramai yang tidak tahu akan kewujudan laluan baru yang lebih santai dan mempunyai air terjun yang cantik dan sesuai bagi yang suka bermandi manda, walaupun begitu laluan ini mengambil masa yang lebih berbanding mengikut laluan balak. Laluan baru ini mengambil masa lebih kurang 2 - 3 jam (mengikut ketahanan) perjalanan dari pintu pagar hingga ke jalan penghujung laluan balak (jalan terakhir ber-tar).

Pada Ahad 3 Julai 2011 yang lalu beberapa ahli BKG telah meneroka dan merasai sendiri laluan baru ini, sungguh berpuas hati walaupun mengambil masa yang lama. Trek agak santai dan menyamankan dengan bunyi air terjun yang sering menyapa telinga, laluan baru ini juga menemukan beberapa anak sungai dan air terjun yang mengasyikkan. Banyak tempat menarik untuk mandi manda terdapat pada laluan baru ini, keasyikan melihat air terjun dan lubuk yang dalam banyak membuatkan kami lupa akan penat mendaki.

Antara air terjun dan anak sungai yang mengujakan, terdapat juga lubuk dalam yang dianggarkan mempunyai kedalam lebih 2 meter. ↑↑

Selain air terjun dan lubuk dalam, laluan baru ini juga mempunyai tumbuh-tumbuhan yang menghijau sesuai bagi pengkaji tumbuhan hutan dan terdapat juga serangga-serangga pelbagai bentuk dan rupa yang jarang di temui. Menurut renjer hutan, terdapat juga Tikus Buluh yang mendiami hutan di gunung ini. Tikus Buluh ini berwarna putih dan menjadikan rebung buluh sebagai makanan, menurut renjer lagi Tikus Buluh ini bersaiz besar berbanding tikus biasa. Laluan baru ini juga sedikit lembap kerana berdekatan dengan sungai, kelembapan ini menyebabkan laluan ini menjadi habitat pacat. Untuk peserta yang akan mencuba laluan baru ini di ingatkan supaya berhati-hati dan sentiasa membuat persedian awal bagi menghindari pacat.

Antara hidupan dan serangga yang ditemui sepanjang perjalanan. ↑↑

Kehijauan dan ketinggian pokok membuatkan perjalanan lebih redup dan nyaman, tidak seperti laluan balak yang panas disinari cahaya matahari. Keadaan ini membuatkan perjalanan tidak terasa sukar, walaupun ada laluan pacak. Melihat dari kedaan fizikal pokok yang terdapat disana, dianggarkan berusia puluhan tahun dan mungkin ada yang mencapai ratusan tahun. Selain itu banyak juga pokok-pokok berduri yang terdapat di tepi-tepi laluan, pendaki diminta berhati-hati jika ingin menggunakan dahan-dahan pokok sebagai sokongan bagi mengelakkan kecederaan.

1- Antara pokok berduri dan pokok yang dipercayai berusia lebih dari 50 tahun atau lebih (gambar atas)
2- Papan tanda dan tunjuk arah laluan baru boleh dilihat selepas hampir 200 meter perjalanan dari pintu pagar (gambar bawah)

Penerokaan laluan baru ini dianggap paling menarik, kami sungguh berpuas hati dengan keindahan air terjun yang terdapat pada laluan ini. Bagi yang ingin mencuba laluan ini diharapkan tidak terkeliru dengan laluan bercabang, dapatkan dulu info dari renjer bertugas.

4 ahli BKG yang menyertai aktiviti kali ini ↑↑

BKG menyarankan kepada pendaki-pendaki supaya mencuba laluan baru ini, ianya lebih mempesonakan. Bagi yang gemar bermandi manda ia memang tempat yang sesuai, terdapat banyak lubuk yang pasti tidak anda lupakan tetapi diharapkan anda lebih berhati-hati pada pusaran air. Bagi pendaki yang ingin ke puncak tidak digalakkan mengikut laluan ini kerana masa akan banyak terbuang disini, laluan balak lebih cepat berbanding laluan baru.


Tuesday, June 21, 2011

Aktiviti: Trans Jorka, Cameron Highland

KOS: RM50 (meliputi guide + sijil penyertaan + penginapan)
TAMBAHAN: Car pool (minyak + toll)- Bergantung kepada tuan/puan empunya kenderaan:

PERINGATAN!! BAWA PAKAIAN SEJUK LEBIH




TENTATIF PROGRAM

15/07/2011:JUMAAT
9.00PM: Berkumpul di KL Sentral (MAS TICKETING OFFICE)
10.00PM: Bergerak ke Cameron Highlands (Puncak Berinchang)
2.00AM: Tiba di Puncak Berinchang dan bermalam



16/07/2011: SABTU
7.30AM: Sarapan
8.00AM: Trekking ke Puncak Irau (Daypack)
11.00AM: Tiba di Puncak Irau (refreshment, photo session)
12.30PM: Bergerak turun ke Campsite
3.00PM: Tiba di Campsite
3.30PM: Turun ke Pekan Berinchang
4.00PM: Tiba di Pasar Malam Pekan Berinchang
7.00PM: Bergerak ke Tanah Rata
9.00PM: Nightwalk ke Perdah-Jasar-Ruil
11.00PM: Kembali ke Tanah Rata (Bermalam/Aktiviti bebas)



17/07/2011: AHAD
7.30AM: Sarapan
8.00AM: Trekking ke Puncak Berembun
10.00AM: Tiba di Puncak Berembun (refreshment, sesi photo)
11.00AM: Bergerak turun
12.30PM: Tiba di rumah rehat (mandi/make-up)
2.00PM: Bersiar2 di Cameron Highlands
4.00PM: Bergerak pulang ke KL
7.00PM: Tiba di KL (Bersurai)


Maklumat lanjut hubungi AMIR - 012-6873307




Monday, June 20, 2011

Aktiviti: Air Terjun Hijau, Negeri Sembilan

Jumaat ( 1/7/2011 )

6.00 petang - Berkumpul di Bangunan AmAssurance

6.30 petang - Bertolak ke Kg Chenah, Jelebu.

8.30 malam - Dijangka tiba di Kg Chenah. Forwheel akan menunggu kita di Masjid Kg Chenah

9.00 malam - Kita akan tiba di Pornak Base Camp dimana kita akan dijamu BBQ dan makan malam oleh pihak penganjur

11.00 malam - Tidur

Sabtu ( 2/7/2011 )

8.00 pagi - Taklimat dan makan pagi

9.00 pagi - Memulakan perjalanan ke Air Terjun Hijau sejauh 13km

4.00 petang - Dijangka tiba di Campsite. Pasang campsite dan mandi manda

7.00 malam - Makan malam

11.00 malam - Tido time

Ahad ( 3/7/2011 )

8.00 pagi - Makan Pagi

11.00 pagi - Mulakan perjalanan pulang ke Pornak Base camp

5.00 petang - Dijangka tiba di Base Camp

6.00 petang - Menaiki Forwheel ke Kg Chenah

7.00 petang - Bertolak pulang ke KL

9.00 malam - Bersurai


Kenderaan – carpool
Untuk cost trecking dan camping: RM 60.00 sahaja.

Untuk pengesahan nama sila berbuat demikian pada atau sebelum 24/6/2011

Untuk permbayaran duit sila berbuat demikian pada atau sebelum 27/6/2011


Sebarang pertanyaan dan pembayaran boleh menghubungi Amir - 012-6873307



**Untuk pengetahuan semua, tarikh aktiviti ini telah di tunda pada 8 - 10 Julai. Harap Maklum...



Thursday, June 9, 2011

Jualan Penghabisan Stok - EVERGREEN

Cepat sebelum terlambat, banyak barang-barang untuk aktiviti camping dijual dengan harga murah. Bermacam-macam jenama, potongan sehingga 70% untuk jenama seperti Coleman, Dueter, Suunto dan macam-macam lagi


Wednesday, May 25, 2011

Gunung Nuang 2011 - Edisi ke-3 (Bergambar)

Aksi depan kamera sebelum memulakan pendakian ↑

Bergambar bersama Mimie selaku ketua kumpulan LC ↑


Memori Gunung Nuang bersama peserta ↑

Take 5, penat ↑

LC (Let's Conquer) ↑

Tiada kata dapat diungkapkan ketika menjejakkan kaki di puncak ↑


Monday, May 16, 2011

Seribu Penghargaan & Tahniah

BKG mengucapkan seribu penghargaan kepada mereka-mereka yang berminat menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh kami, banyak 'feedback' yang kami terima dari peminat sukan lasak seperti mendaki gunung.

BKG juga mengucapkan tahniah kepada group LC (Let's Conquer) yang terdiri daripada 10 orang (5 lelaki 5 perempuan) kerana berjaya menawan puncak Gunung Nuang, kami juga ingin memohon maaf sekiranya ada kesilapan dari pihak BKG ataupun ada kekecewaan dari pihak LC semasa BKG mengendalikan aktiviti menawan puncak Gunung Nuang.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun cuaca dan keadaan trek tidak begitu baik, inilah yang dipanggil asam garam didalam hutan. Kena bersedia apa jua halangan yang mendatang, secara keseluruhan boleh BKG katakan ianya BERJAYA. Tahniah dan terima kasih BKG ucapkan, sehingga berjumpa lagi dilain aktiviti. InsyaALLAH.


*Gambar penuh akan di muat naik kemudian

Monday, May 9, 2011

Gunung Nuang 2011 - Edisi ke-3

Ahli BKG akan sekali lagi menakluki puncak Gunung Nuang buat kali ke-3, edisi kali ini disertai 6 orang pelajar universiti. Aktiviti kali ini lebih kepada menjadi penunjuk arah kepada pelajar-pelajar terbabit yang pertama kali cuba menawan puncak Gunung Nuang, selain itu ia juga mengubati kerinduan ahli-ahli BKG bermandi peluh memanjat gunung dan merasai kesejukan air gunung. Seramai 5 orang ahli BKG akan mengikuti aktiviti kali ini.

Tarikh: 14/05/2011 - 15/05/2011 (2 hari 1 malam)
Masa: 7:00 am - 14/05/2011 (pintu masuk utama)
Aktiviti: Menjadi penunjuk arah & BBQ (ahli BKG sahaja)

Di harapakan aktiviti kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, insyaALLAH. AMIN...


Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi kami....


Thursday, April 28, 2011

Berminat?

BKG amat mengalu-alukan kepada semua yang berminat untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan, kepada yang berminat untuk mengetahui aktiviti yang akan dijalankan atau untuk mengikuti aktiviti yang dijalankan boleh la PM BKG di alamat emel chip_munks85@yahoo.com.

Jika ada sebarang cadangan ataupun pendapat juga boleh berbuat demikian di alamat emel yang sama, mungkin juga anda ingin kongsikan pengalaman & gambar-gambar anda semasa melakukan aktiviti di dalam blog ini juga dialu-alukan, ini membolehkan pengemar-pengemar aktiviti sukan jenis ini mendapat lebih info dan idea.

Sunday, March 13, 2011

Bukit Broga- Aktiviti Mengutip Sampah (Ahad 13/3/11)






Seperti yang semua sedia maklum pada entri lepas BKG ada mengatakan aktiviti akan diadakan pada Sabtu 12/3/11 tetapi dengan masalah-masalah yang dihadapi aktiviti itu ditundakan pada Ahad 13/3/11, aktiviti ini akhirnya dapat juga dijayakan.

Aktiviti ini disertai 5 ahli BKG, tiada penyertaan luar yang kami terima pada aktiviti kali ini. Walau apa pun aktiviti ini berjalan dengan lancar dan jayanya, terima kasih diucapkan pada ahli-ahli yang terlibat bagi menjayakan aktiviti amal kali ini.

BKG mengharapkan dapat memulihkan walaupun sedikit persekitaran Bukit Broga dari terus diselubungi sampah sarap, selain itu BKG juga mengharapkan pengunjung lebih prihatin dan sedar tentang menjaga kebersihan Bukit Broga.

Friday, March 11, 2011

Bukit Broga- Aktiviti Mengutip Sampah (Sabtu 12/3/11)

Kepada pendaki-pendaki, jumpa kami (BKG) di Puncak Bukit Broga pada Sabtu ini (awal pagi) dan sertai kami dalam menjayakan aktiviti amal mengutip sampah disana. Segala peralatan tambahan sila bawa sendiri, kami hanya membawa plastik sampah sahaja. Makan dan minum juga tidak termasuk dalam aktiviti ini, sediakan makanan dan minuman anda sendiri. Diharapkan dengn adanya aktiviti sebegini, Puncak Bukit Broga dapat dibersihkan dan mengeratkan lagi persahabatan antara pendaki.

Maklumat lanjut hubungi saya, Fadli 012-2779803

Monday, March 7, 2011

Bukit Broga- Aktiviti Mengutip Sampah (Bergambar)

Ahli BKG yang mengadakan aktiviti mengutip sampah Edisi 1
Aktiviti mengutip sampah adalah secara manual ↑
Mungkin kalau ada lori lebih banyak sampah dapat dibawa turun ↑

Sunday, March 6, 2011

Bukit Broga- Aktiviti Mengutip Sampah

Pada hari Ahad lalu 3 ahli BKG mengadakan aktiviti mengutip sampah di sekitar puncak Bukit Broga, aktiviti yang tidak dirancang dan berlaku secara tiba-tiba itu berjaya dan mendapat sambutan yang luar biasa dari pengunjung-pengunjung Bukit Broga.

Selain 3 ahli BKG, aktiviti mengutip sampah ini juga disertai beberapa pengunjung lain yang turut mengambil berat isu pembuangan sampah di puncak Bukit Broga. Sambutan yang tidak dijangka dan menggalakkan dari pengunjung membuatkan BKG akan mengadakan aktiviti mengutip sampah pada masa akan datang.

Diharapkan sampah yang terdapat di puncak Bukit Broga dapat dikurangkan pada masa hadapan seterusnya membuatkan Bukit Broga bersih dari sampah sarap yang menyesakkan pemandangan mata. Kepada semua yang berminat untuk menyertai aktiviti ini amat dialu-alukan, emelkan nama dan nombor untuk dihubungi ke alamat emel chip_munks85@yahoo.com.

Thursday, February 17, 2011

Cuaca

Selalunya persediaan sebelum melakukan aktiviti seperti kelengkapan perkhemahan, makanan, pakaian dan sebagainya dibuat dengan rapi dan teliti TETAPI jangan diabaikan atau dilupakan keadaan cuaca semasa dan hari akan datang.

Di ingatkan kepada semua penggemar sukan luar dan lasak supaya sentiasa alah dan peka terhadap cuaca bagi menjayakan aktiviti yang di lakukan. Sentiasa bersedia dengan perubahan cuaca yang mendadak, membuat kajian dan teliti ramalan kaji cuaca semasa dan akan datang.

Perubahan cuaca banyak menyebabkan aktiviti yang di lakukan tidak berjalan dengan jayanya, cuaca merupakan cabaran yang paling kuat dalam menjaya aktiviti luar. Ketua pasukan atau guide seharusnya merancang aktiviti di dalam keadaan cuaca semasa yang baik bagi memberikan kepuasan kepada peserta serta mengelakkan kejadian yang tidak di ingini.

Rancang aktiviti anda, insyaALLAH semuanya akan selamat....

Tuesday, February 8, 2011

Kasut Mendaki

Kasut Getah / Adidas Kampung ↑
Kasut 'outdoor' Timberland ↑
Kasut 'outdoor' Hi-Tec ↑

Mungkin ada di antara pendaki-pendaki baru atau 'beginner' menghadapi masalah mencari kasut yang sesuai untuk mendaki gunung, mungkin juga ada pencanggahan pendapat mengatasi masalah ini. Bagi mengatasi masalah ini, BKG ada beberapa tips dan cadangan dalam pemilihan/penggunaan kasut dalam aktiviti mendaki.


1- Kasut 'outdoor' Hi-Tec
2- Kasut 'outdoor' Timberland
3- Kasut 'outdoor' Colombia
4- Kasut Getah / Adidas Kampung
**Elakkan membeli kasut di kedai barang lusuh/bundle, ini kerana kualiti sesuatu barang sudah terjejas walaupun ianya barang berjenama

Pemilihan kasut berjenama seperti di atas memerlukan belanja yang besar, ini mungkin membuatkan pendaki terasa keberatan untuk memilikinya. Pendaki di larang memakai kasut sukan biasa (kasut futsal, badminton dll) bagi mengelakkan ketidakselesaan dan kasut rosak semasa pendakian, ini kerana tapak dan tahap ketahanan kasut tidak setaraf dengan keadaan bentuk gunung. Kaki anda mungkin akan mengalami kecederaan ataupun kasut mengalami kerosakan!

Kebanyakan pendaki-pendaki tegar Malaysia memakai kasut jenis getah atau dengan nama lain Adidas Kampung, kasut jenis ini mungkin agak tidak sesuai kerana rupa bentuk dan bahan buatannya. Keselesaannya juga di ragui, berkemungkinan kaki anda boleh melecet atau cedera. Rata-rata pendaki memakai kasut jenis ini kerana ringan, murah, kalis air, mudah dicuci selain mudah kering.

Pemilihan kasut harus dibuat dengan teliti bagi menjayakan pendakian anda selain mengelakkan kecederaan, ketahanan kasut harus ditahap yang paling tinggi bagi mengelakkan kerosakan di tengah pendakian,keselesaan juga harus dititik beratkan. Semoga tips BKG dapat membantu anda.....


Monday, February 7, 2011

G7

G7 adalah panggilan bagi 7 buah gunung yang tertinggi di Semenanjung Malaysia yang terletak di Banjaran Titiwangsa dan ketinggian melebihi 7000 kaki dari paras laut. 5 daripada 7 gunung G7 terletak di Perak Darul Ridzuan, 1 di Pahang Darul Makmur dan 1 di Kelantan Darul Naim.

1- Gunung Tahan, Pahang Darul Makmur (7,175 ft = 2,187 m)
2- Gunung Korbu, Perak Darul Ridzuan (7,162 ft = 2,183 m)
3- Gunung Yong Belar, Perak Darul Ridzuan (7,156 ft = 2,181 m)
4- Gunung Gayong, Perak Darul Ridzuan (7,129 ft = 2,173 m)
5- Gunung Chamah, Kelantan Darul Naim ( 7,121 ft = 2,171 m)
6- Gunung Yong Yap, Perak Darul Ridzuan ( 7,110 ft = 2,167 m)
7- Gunung Ulu Sepat, Perak Darul Ridzuan (7,089 ft = 2,161 m)

Saturday, February 5, 2011

Gunung Nuang Edisi II (3 - 4 Februari 2011)



Pendakian pada edisi ke II menawan puncak Gunung Nuang kali ini agak mencabar sedikit berbanding edisi lalu, ini berikutan terdapat kerosakan laluan dakian dan kejadian pokok tumbang. Kerosakan laluan dakian dan agak basah sedikit memberi kesukaran pada pendakian ke puncak (selepas Kem Pacat) kepada kesemua 8 peserta tetapi itu tidak mematahkan semangat menawan puncak gunung tertinggi di Selangor buat kali kedua.Selain dari kerosakan laluan dan kejadian pokok tumbang, khemah Team Budak Kaki Gunung (BDK) juga di timpa hujan pada sebelah malam. Cuaca sejuk dan sedikit lembab juga menjadikan XPDC kali ini lebih mencabar dan memenatkan.

Sedikit peringatan pada pendaki yang baru ingin mendaki Gunung Nuang supaya berhati-hati dan bersedia menghadapi segala kejadian yang diluar jangkaan seperti tanah runtuh, pokok tumbang, hujan, angin kuat dan sebagainya. Perancangan awal dan teliti perlu sebelum memulakan pendakian, Alhamdulillah sejak dari edisi I hingga edisi II BDK selamat sampai dan balik seperti yang dirancangankan.
EDISI I ← klik sini

Monday, January 17, 2011

Sleeping Bag

Sleeping bag '1 layer' ↑


Entri kali ni berkaitan sleeping bag, sleeping bag antara peralatan yang penting dalam aktiviti bercamping. Pemilihan sleeping bag yang sesuai dengan cuaca adalah perlu mengikut kesesuaian dan keselesaan anda selain mengelakkan diri dari kesejukan.

Bagi cuaca di Malaysia BKG mencadangkan untuk menguna sleeping bag '1 layer', sedikit nipis tetapi sudah memadai bagi aktiviti di hutan ataupun di kaki gunung. Ini kerana cuaca di Malaysia tidak begitu sejuk berbanding di negara luar yang lain. Bagi aktiviti di atas gunung ataupun puncak gunung, BKG mencadangkan untuk menguna sleeping bag '2 layer'. Sleeping bag jenis ini sedikit tebal, sesuai dengan cuaca yang agak sejuk di atas puncak gunung.

Selain ketebalan sesuatu sleeping bag bagi memanaskan suhu badan, keselesaan juga perlu di ambil berat bagi memastikan masa rehat dan tidur anda tidak terganggu. Aktiviti yang memenatkan memerlukan rehat dan tidur yang cukup untuk meneruskan aktiviti seterusnya, dengan keselesaan ini mungkin sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan penat.

Sunday, January 16, 2011

Khemah

Khemah 'fly' ↑


Khemah '2 layer' ↑


Mungkin ramai peminat-peminat aktiviti perkhemahan atau pendakian tidak menitik beratkan isu KHEMAH, pada entri kali ini BKG akan menerangkan serba sedikit berkenaan khemah. Khemah adalah 1 peralatan paling penting dalam aktiviti bercamping, jadi ia memerlukan ketelitian dalam memilih khemah yang sesuai dengan cuaca, bentuk muka bumi dan tahap keselesaan.


Mungkin ramai yang tidak perasan masalah kebocoran khemah sering kali di dengari setiap kali aktiviti camping di jalankan, masalah ini boleh di atasi dengan pemilihan khemah yang sesuai. BKG menyarankan untuk memilih khemah '2 layer', khemah jenis ini dapat mengatasi masalah kebocoran yang di hadapi. Layer ke-2 pada khemah adalah kalis air dan bertindak sebagai bumbung khemah yang baik.


Mungkin jaga anda berpendapat untuk menggunakan khemah 'fly', senang di bawa dan ringan. Ini tanggapan bagi orang yang memikirkan kesenangan tanpa memikirkan tentang keselamatan diri. 'Fly' memang merupakan antara khemah yang mudah tetapi bila di teliti dan di perhalusi ianya boleh mengundang bahaya. Keadaan 'fly' yang biasa selalunya bertutup di atas terbuka di bahagian bawah, ini memudahkan haiwan menjalar mahupun serengga memasuki khemah. Khemah yang bertutup adalah yang paling sesuai di gunakan dalam aktiviti bercamping


BKG mengambil berat tentang pemilihan khemah bagi keselesaan dan kesesuaian aktiviti yang di jalankan, di harapkan entri kali ini dapat memberikan sedikit manfaat kepada anda



Peralatan Mendaki / Berkhemah / Camping

Peralatan untuk mendaki gunung-gunung di Malaysia tidak la sebanyak peralatan mendaki di negara lain yang beriklim sejuk. Kebanyakan peralatan yang di perlukan adalah peralatan 'basic' sahaja. Antara contoh peralatan 'basic' yang di perlukan:-

1-
Khemah (pastikan khemah bersesuai dengan cuaca semasa)
2- Sleepping Bag (pastikan selesa dan dapat memanaskan badan ketika tidur)
3- Beg (pastikan beg yang di bawa sesuai dengan aktiviti mendaki)
4- Kasut (pastikan sesuai dengan keadaan gunung dan selesa bila di pakai)
5- Plastik sampah (pastikan di bawa setiap kali beraktiviti untuk sampah yang di buang)
6- First Aid (pastikan segala ubat-ubatan di dalam first aid lengkap)
7- Lampu suluh (pastikan lampu suluh di bawa seorang 1 bagi mengatasi masalah kegelapan)


Pastikan segala kelengkapan dan peralatan di bawa dan di periksa dengan teliti mengelakkan ada yang tertinggal, mungkin barang yang tertinggal penting semasa aktiviti di jalankan.

Thursday, January 6, 2011

Gunung Nuang (18 - 19 Disember 2010)

9 peserta aktiviti menawan Gunung Nuang edisi-1 ↑
Pintu masuk utama Gunung Nuang ↑
Kem Lolo, base camp paling sesuai untuk bermalam
Kem Pacat ↑
Puncak Gunung Nuang (4898ft)


Aktiviti pertama kami di dahului dengan mendaki Gunung Nuang yang berketinggian 4898ft, walaupun agak drastik pada percubaan pertama tetapi kami berjaya menawan puncak Gunung Nuang. Pengajaran dan pengalaman pertama kami dalam dunia pendakian gunung & hutan, puas dan berbaloi.


Aktiviti pertama di sertai 9 peserta:

Acap
Angah
Aiman Gamat
Aiman BGD
Emy
Ijat
Hayul
Acai
Fadli


Rata-rata menyatakan kepuasan setelah menawan puncak gunung selain kelihatan jelas riak penat dan keletihan. Kepuasan nyata mengatasi segalannya

Pengenalan

Kami merupakan 1 pasukan baru dalam dunia pendakian, tunjuk ajar amat di alu-alukan. Mula berminat dalam aktiviti pendakian bermula hujung tahun 2010, selain aktiviti pendakian kami juga akan menceburi aktiviti-aktiviti lasak yang lain seperti berkayak, berlari dan lain-lain, InsyaALLAH.

Kepada otai-otai yang ingin mencurahkan ilmu pendakian dan sebagainya amatlah di alu-alukan, kepada sesiapa yang juga ingin berkongsi pengalaman mahupun berkongsi aktiviti yang ingin di adakan juga di alukan. Emelkan kepada chip_munks85@yahoo.com.

Salam pengenalan dari budak kaki gunung, chill