Showing posts with label Aktiviti. Show all posts
Showing posts with label Aktiviti. Show all posts

Monday, May 11, 2015

Gunung Hitam, Hulu Langat Selangor - 22 - 23 Feb 2014

Alhamdulillah sekali lagi aktiviti BKG berjalan dengan lancar, kali ini kami ke Gunung Hitam Hulu Langat, sebuah gunung yang jarang didaki. Ini berkemungkinan atas faktor kawasan yang agak pedalaman, jalan yang tidak berturap dan bersemak serta air terjun yang sudah semakin kering. Keadaan itu tidak melunturkan semangat 30 peserta yang mengikuti aktivti ini, malah bertambah bersemangat untuk menakluki gunung yang jarang didaki ini.

Gunung Hitam ini berketinggian 1220 meter dari aras laut, Sungai Gabai adalah land mark bagi memasuki ke starting point Gunung Hitam. Laluan yang jarang dimasuki membuatkan keadaan telah di naiki lalang dan semak selain turapan jalan yang sudah mula pecah dan ditakungi air, bagi mereka yang sayang kereta di maklumkan untuk tumpang kereta rakan ataupun menyewa 4wd.

Pedakian yang dianggap santai pada mula aktiviti tenyata meleset apabila baru lebih kurang 20 minit perjalanan, keadaan laluan trek yang kering dan keras serta ditutupi daun-daun kering membuatkan perjalanan menjadi licin dan panas, keadaan ini sedikit sebanyak memberi cabaran kepada semua peserta. Halangan demi halangan ditempuhi peserta untuk mencapai matlamat menawan puncak Gunung Hitam, cuaca panas benar-benar menguji tahap kekentalan peserta.

Ternyata segala halangan dan cabaran berjaya diharungi oleh semua peserta aktiviti, matlamat utama menawan puncak Berjaya di realisasikan. Kejayaan ini ditambah dengan tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, kesemua peserta selamat tiba ke kawasan perkhemahan dengan selamat.















Monday, November 11, 2013

Trans JERGING (Gunung Suku+Gunung Irau+Gunung Yellow+Gunung Pass)

Dengan moto 'Kasi Tapau Semua' sedikit sebanyak memberi semangat kepada semua peserta untuk menawan Trans Jerging sekali gus menapau semua 4 puncak gunung. Dengan keadaan trek yang sangat 'rare' dan laluan menegak dari mula pendakiaan ke Gunung Suku banyak menguji tahap ketahanan peserta namun semua dihadapi dengan tenang bak kata-kata 'Jangan gaduh-gaduh, benda boleh bincang'.

Trans ini memberikan tekanan yang cukup hebat kepada para peserta, bermula dari pendakian Gunung Suku yang memacak dari permulaan hingga ke puncak, selepas tiba di puncak perjalanan diteruskan ke Kem Bear untuk singgah sana malam pertama, perjalanan memakan masa 8-10 jam. Alhamdulillah peserta yang terpecah kepada 2 kumpulan ini tiba dengan selamat walaupun kumpulan 2 mengalami kelewatan, dengan semangat berpasukan, kumpulan 1 yang tiba lebih awal telah menyiapkan segala tempat bermalam, menyediakan makanan serta memberi bantuan kepada kumpulan 2.

Pendakian di hari ke 2 turut memberikan tekanan dengan perjalanan hampir sama pada hari pertama tetapi kali ini kumpulan 1 sedikit tersasar dari laluan sebenar yang melewatkan perjalanan lebih kurang 1 jam, walaupun begitu kumpulan 1 dapat kembali ke laluan sebenar dan bersama dengan kumpulan 2 dan bersama-sama ke Puncak Gunung Irau sebagai gunung kedua dalam Trans Jerging ini. Oleh kerana berlaku kekeliruan trek dan tersasar dari laluan sebenar, rancangan yang diatur untuk bermalam di Puncak Gunung Yellow tidak dapat dilaksana kan, sekitar jam 9 malam langkah kaki kumpulan 1 terpaksa dihentikan kerana berlaku kelewatan masa dan telah melebihi tahap keupayaan badan. Kumpulan 1 membuat tindakan untuk menjadi laluan yang sedikit untuk dijadikan tempat untuk bermalam dihari kedua dan sama sekali menunggu untuk kumpulan ke 2 tiba. Beberapa lama kemudian kumpulan 2 tiba dan 1 perbincangan diadakan bagi membuat plan B, keputusan muktamad diperolehi, kami membuat keputusan untuk bermalam terus dan kembali meneruskan pendakian pada pukul 6 pagi keesokan harinya, keputusan ini dibuat atas sebab kelewatan masa dan keupayaan badan dan peserta. 

Pada hari ketiga, kira-kira pukul 6 pagi kami kembali meneruskan pendakian ke Puncak Gunung Yellow, terdapat beberapa laluan yang mengelirukan dan sedikit sebanyak melengahkan pendakian kami, kira-kira hampir pukul 8 pagi kami tiba akhirnya di Puncak Gunung Yellow sebagai gunung ke 3 dalam trans ini. Dipuncak peserta mengambil masa untuk kembali merehatkan diri dan mengembalikan tenaga yang telah hilang pada hari kedua, dalam tidak sedar 3 puncak gunung telah kami tawan. Semangat peserta kembali pulih dan semakin bersemangat untuk menamatkan dan sekali gus merealisasikan Trans Jerging.

Waktu hampir tengahari kami bergerak turun dari puncak ke Gunung Pass, segalanya sudah, makan, rehat, tidur dan minum. Tenaga kembali pada tahap terbaik untuk menamatkan ekspedisi ini, dari puncak Gunung Yellow kami bertembung dengan 1 kumpulan lain yang turu sama ke Gunung Pass. Perjalanan ke Gunung Pass agak sederhana, ini membuatkan perjalanan agak pantas dari 2 hari sebelumnya. Kami tiba di Puncak Gunung Pass sebagai gunung terakhir dalam trans ini kira-kira pukul 3 petang, kami mengambil masa 10 minit untuk berehat, meneguk air dan bergambar kenangan. Keadaan mental dan fizikal kini kembali mantap, fokus terarah kepada jalan keluar, laluan trek juga semakin mudah, hanya perlu menuruni tanpa pendakian.

Kumpulan 1 tiba seawal pukul 6:30 petang, kumpulan 2 tiba pukul 6:45 petang sebelum kumpulan 3 tiba kira-kira pukul 7 malam, Alhamdulillah kesemua peserta selamat keluar dan menamatkan Trans Jerging yang julung-julung kalinya diadakan oleh  mana-mana kumpulan outdoor. Segala perit dan jerih laluan hanya peserta yang dapat rasakan, tidak dapat diolah dengan kata-kata atau perkataan. Satu pegalaman baru, banyak pembelajaran yang dipelajari dari peserta-peserta serta admin-admin OWA, berkenalan dengan sahabat-sahabat baru, aktivit yang sangat menarik.

Trans ini dibawakan oleh OWA yang diketuai oleh Muhamad Asrul Rizam bersama admin-admin yang lain, tanpa mereka misi ini mungkin gagal dilaksana kan seperti yang direncana. Ucapan terima kasih kepada semua yang mewarnai event ini dan ucapan terima kasih juga kerana memberi ruang kepada admin BKG untuk turut merasai kehebatan Trans Jerging, suka duka di kongsi bersama walau pertama kali berjumpa. Di harapkan pertemuaan ini akan mengeratkan lagi hubungan sesama kawan 'outdoor' dan saling menghangatkan lagi dunia 'hiking' ini, di sini admin BKG juga memohon ampun dan maaf atas-atas kekecewaan, kesalahan bahasa dan pergaulan, menyusun 10 jari memohon maaf.

















Air Terjun Bekelah Maran, Pahang (14 & 15 September 2013)

Bertandang ke Air Terjun Bekelah adalah kunjungan BKG kali kedua dalam tempoh 2 tahun, Bekelah menjadi antara tempat berair terjun WAJIB pergi bagi kami kerana kecantikan air nya selain menyajikan kawah-kawah yang besar. 

Kunjungan kali ini memberikan pengalaman yang baru kepada kami, antaranya terlupa bawa gas memasak, tertinggal kambing untuk bbq di pertengahan trek, memasak menggunakan kayu api walaupun hujan pada sebelah petang dan malam, dapat mencari gas-gas memasak di longgokan sampah. 

Walaupun dalam tempoh 2 hari 1 malam itu agak kelam kabut dan rumit dengan ketiadaan gas memasak, kami bekerjasama bersama-sama berganding bahu membantu antara satu sama lain untuk menyediakan makanan seperti yang telah dirancangkan walaupun tidak sempurna seperti diatas kertas. Alhamdulillah kerana kami berjaya harungi dugaan dan masih boleh bergambar dan bersuka ria mandi manda bersama.

Pengajarannya disini, tidak semua apa yang dirancang akan tercapai atau terlaksana, bersedialah untuk harungi apa saja dugaan dan harungilah dengan tenang. Setiap kejadian membuatkan kita semakin berpengalaman dan lebih bersedia.

Ucapan terima kasih kepada peserta-peserta kali ini kerana sudi menyertai aktiviti BKG selama 2 hari 1 malam ini, mohon maaf dan ampun atas kekurangan dan kekecewaan harap tidak disimpan didalam hati. Sehingga berjumpa lagi dilain aktiviti dan sentiasa ikuti perkembangan BKG disini. Terima kasih...














Wednesday, May 22, 2013

Gunung Angsi - 27 April 2013

Sekali lagi BKG berjaya menambah gunung tawanan, kali ini Gunung Angsi menjadi taruhan. Alhamdulillah segala kesukaran berjaya dihadapi sama sekali berjaya menawan puncak Gunung Angsi yang berketinggian 825 meter dari aras laut. Pendakiaan selama hampir 3 jam dilalui dengan perlbagai halangan, termasuk halangan bertali. Untuk maklumat, Gunung Angsi boleh didaki dengan 2 laluan, pertama melalui Hutan Ulu Bendol dan yang kedua melalui Bukit Putus. Aktiviti kali ini kami BKG terdiri daripada 3 orang memilih laluan dari Hutan Ulu Bendol untuk pendakiaan dan memilih laluan Bukit Putus untuk turun semula dan kami terpaksa berjalan sejauh 3 kilometer untuk kembali semula ke Hutan Ulu bendol. Pada pandangan kami, laluan melalui Hutan Ulu Bendol sedikit sukar dan memakan masa berbanding pendakiaan melalui Bukit Putus yang lebih mudah. Pendakiaan ke Gunung Angsi dikenakan permit sebanyak RM5 oleh pejabat hutan negeri dan harus melalui proses pendaftaran nama dan pengenalan diri. 




















Wednesday, April 17, 2013

Pine Tree Hill & Twin Peak - Kuala Kubu Baru (13 April 2013)

Alhamdulilah berjaya misi menawan puncak Pine Tree Hill dan Twin Peak pada 13 April yang lalu, aktiviti ini disertai seramai 9 orang peserta terdiri daripada BKG dan beberapa orang kawan. Aktiviti ini dijalankan sebagai latihan untuk aktiviti CBL yang bakal dijalankan pada bulan Jun nanti, sila klik Chemerong Berembun Lansir untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti tersebut.

Pendakiaan kami dimulakan seawal 5:00 pagi, cuaca ketika itu berkabus, berangin dan sejuk, merupakan cabaran utama dalam aktiviti kali ini. Persediaan awal telah dibuat oleh semua peserta untuk menangani keadaan cuaca sebegitu, kami tiba di perkarangan Pine Tree Trail sekitar pukul 4:30 pagi. Setibanya disana peserta terus menyiapkan diri memakai kelengkapan mendaki dan penyediaan beg, keadaan yang sejuk memaksa kami untuk tidak berada lama di parkir kereta. 

5:00 pagi pendakiaan dimulakan, kabus tebal menghalang cahaya head lamp terus menembusi menerangi laluan, jarak penglihatan agak terhad ketika itu. Kami terpaksa berjalan dalam keadaan rapat bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, selain dapat membantu penglihatan yang agak terhad. Perjalanan ketika keadaan gelap memerlukan kelengkapan yang baik, kuasa bateri yang penuh untuk head lamp, pakaian yang terang juga dapat membantu sesama pendaki ketika perjalanan gelap. Elakan jarak yang jauh ketika berjalan dalam kumpulan selain tidak digalakkan berjalan berseorangan kita waktu gelap.

Terdapat beberapa pondok ataupun pit stop pada laluan ke puncak, ada yang masih kukuh berdiri ada juga yang sudah tumbang menyembah bumi. Pendaki diminta berhati-hati ketika melalui kawasan pondok kerana dikhuatiri pondok telah reput ataupun paku bertaburan sekitar pondok yang telah runtuh. Pada awal penjalanan/pendakian keadaan denai/laluan adalah mendatar dan kebanyakannya menurun kebawah, ini membuatkan perjalanan/pendakiaan lebih pantas dan dapat menjimatkan masa. Denai/ laluan juga terdapat tangga-tangga siap bertali memudahkan pendaki melalui denai/laluan ke puncak, ianya hanyalah pada awal perjalanan/pendakiaan.

Semakin hampir ke puncak Pine Tree, denai/laluan semakin menaik. Pada ketika itu pendaki diuji tahap ketahanan mental dan fizikal, perjalanan/pendakian menjadi perlahan dan banyak memakan masa. Pendaki terus diuji sehinggalah ke 1 tahap keadaan denai/laluan 90 darjah tegak, di denai/laluan itu disediakan tali untuk memudahkan pendaki terus mendaki denai/laluan sejauh 30 meter (lebih kurang). Pendaki perlu melepasi halangan denai/laluan menegak itu sebelum berjaya menawan puncak Pine Tree Hill yang setinggi 4751 kaki. Alhamdulillah kami berjaya menawan puncak kira-kira 8:30 pagi, keadaan sekitar masih lagi diselaputi kabus tebal, cuma sesekali cahaya matahari berjaya menembusi dan menerangi puncak.


Setelah kepenatan mengharung liku-liku perjalanan/pendakiaan, kami mengambil masa untuk berehat dan mengisi perut. Tidak dilepaskan untuk bergambar kenangan bersama-sama berlatar belakangkan keindahan alam yang menghijau, hanya pendaki sejati sahaja yang dapat merasai keindahan, kegembiraan ketika berada di puncak gunung mahupun bukit. Berehat sudah, makan pun sudah, masih ada lagi 1 puncak yang perlu ditakluki, puncak Twin Peak. Berada pada denai/laluan yang sama, rugi kiranya pendaki tidak meneruskan untuk menawan puncak Twin Peak.





Kami meneruskan perjalanan/pendakiaan ke Twin Peak bagi menjayakan misi menawan 2 puncak sekali gus, walaupun agak berat daya untuk meneruskan perjalanan/pendakian. Semua penat dilupakan hanya demi 1 tujuaan, iaitu menawan puncak. Perjalanan/pendakiaan ke Twin Peak  memakan masa lebih kurang 45 minit dari puncak Pine Tree, denai/laluan turun naik disajikan. Terdapat halangan-halangan akar-akar dan pokok-pokok yang sedikit sebanyak melambatkan perjalanan/pendakiaan, kali ini laluan lebih mudah berbanding ke puncak Pine Tree tadi.

Alhamdulillah, kami berjaya tiba di puncak Twin Peak. Keadaan puncak lebih landai dan rata berbanding puncak Pine Tree, begitu juga dengan pemandangan yang lebih menarik. Terdapat deretan gunung-gunung yang dapat dilihat dari puncak Twin Peak, sangat menakjubkan. Ketika ini kabus telah hilang dari pandangan, kami diterangi cahaya matahari yang memancar terus ke puncak. Keadaan menjadi panas, kami terpaksa berlindung di balik bayang-bayang pokok mengelakkan kepanasan. 




Setelah lebih kurang 15 minit berada di puncak Twin Peak, kami mengambil jalan untuk terus turun ke parkir kerana keadaan semakin panas di puncak. Setelah diuji semasa menawan kedua-dua puncak, kami diuji lagi semasa perjalanan/pendakiaan turun. Didalam keadaan yang semakin lemah kami dilimpahi hujan, persediaan awal untuk menangani perubahan cuaca sedikit sebanyak memulihkan kembali mental. Keadaan semakin sejuk, selain hujan turut dirasai angin sekali sekala menyapa tubuh. Perjalanan/pendakiaan ketika hujan sedikit sebanyak melambatkan peserta, pendaki diingatkan supaya membuat persediaan awal bagi menangani perubahan cuaca seperti hujan. Perubahan cuaca boleh membuatkan aktiviti yang dijalankan tergendala jadi persediaan awal perlu untuk mengelakkan berlakunya kecemasan ataupun kemalangan.

Walaupun didalam keadaan sejuk, akhirnya kami selamat tiba di pintu gerbang Pine Tree Trail, segala sakit dan penat hilang setelah berjaya pergi dan balik menawan puncak Pine Tree dan Twin Peak. Diharapkan ini merupakan pelajaran terbaik buat kami untuk terus kuat dalam sukan hiking ini, selain dapat pengalaman baru dan dapat dikongsikan dalam ruangan blog ini kepada semua pendaki. Pada padangan kami, dalam setiap apa jua yang ingin dijalankan pastikan semua persediaan perlu dilakukan dengan terperinci, tanya pakar-pakar sebagai ilmu tambahan selain mencari info didalam internet. Semoga berjaya dalam aktiviti yang dirancangkan........