Showing posts with label Gunung Nuang. Show all posts
Showing posts with label Gunung Nuang. Show all posts

Sunday, February 26, 2012

Gunung Nuang - SME Corp KL Sentral

Alhamdulillah selesai sudah aktiviti pada 25 & 26 Februari yang lalu, semuanya selamat pergi dan balik walaupun aktiviti ini terdapat sedikit pergelutan masa dan masalah kecederaan. Mujur sedikit persediaan yang BKG buat dapat membantu peserta meneruskan jua perjalanan, ini juga di dorong oleh semangat kental peserta sendiri. 


Peserta kali ini seramai 12 orang, terdiri daripada 10 peserta dari SME Corp dan 2 peserta persendirian. Daripada itu hanya seramai 8 orang peserta sahaja yang berjaya menawan puncak gunung tertinggi di Selangor ini yang mempunyai ketinggian 4898 kaki tinggi dari aras laut. Seawal 7:00 pagi peserta diberi sedikit taklimat dan info mengenai Gunung Nuang dan diiringi dengan bacaan doa memohon kesejahteraan ALLAH tuhan mencipta segala alam.





Pada awal perjalanan semuanya bermula seperti yang dirancangkan, peserta juga nampak bersemangat dengan aktiviti kali ini. Perjalanan ke Kem Pacat mula menggugat semangat, mental & fizikal, peserta mula terasa kesukaran trek yang mula memacak hampir 90 darjah. 2 peserta membuat keputusan menarik diri semasa separuh perjalanan ke Kem Pacat setelah hampir 1 jam 30 minit mendaki dari Kem Lolo untuk sekurang-kurangnya sampai ke kem yang juga dikenali sebagai Istana Pacat.




10 peserta selamat tiba ke Kem Pacat lebih kurang pada 12:00 tengahari, peserta mula menampakkan wajah-wajah kepenatan tetapi sedikit pun tidak mencalarkan semangat untuk menawan puncak Gunung Nuang . Perjalanan diteruskan tanpa menoleh kebelakang lagi tetapi kali ini trek benar-benar menduga para peserta sehinggakan seorang lagi peserta menarik diri selepas baru sahaja 10 minit perjalanan dari Kem Pacat.



Pada lebih kurang 2:00 petang peserta tiba di Puncak Pengasih yang juga dipanggil Puncak Kecik, tiba disini mula ada menampakkan permasalahan. Peserta mula kekurangan air dan bergelut untuk mengejar masa, kesukaran trek banyak menggugat peserta. Masalah kelaparan dan kehausan mula menghantui, peserta hanya berbekalkan semangat untuk terus mendaki ke puncak. Kecederaan mula menyerang peserta, 2 peserta wanita mengalami kecederaan lutut dan kuku kaki.

Dalam pergelutan dengan masalah, akhirnya 9 peserta bersama 2 ahli BKG sampai ke puncak dalam kelewatan waktu. Masalah terus dirasai apabila ada peserta terlupa membawa lampu suluh dan kehabisan air minuman. Setelah memikirkan untuk menghadapi masalah yang pasti akan berlaku, BKG menyarankan peserta berehat seketika di puncak untuk mengembalikan semula tenaga yang telah diguna.






Hampir 4:00 petang peserta bergerak turun dari puncak ke tapak khemah di Kem Lolo, masalah air dan kecederaan membuatkan perjalanan ini menghadapi kesukaran. Kumpulan 9 peserta ini berpecah menjadi 2 kumpulan, sekumpulan 5 peserta lebih laju menuruni gunung meninggalkan 4 peserta lain bersama 2 ahli BKG. Ini berikutan masalah kecederaan yang dihadapi, untuk mengurangkan risiko BKG melepaskan seberapa banyak peserta turun lebih awal.

Sekumpulan 4 peserta dan 2 ahli BKG tiba di Kem Pacat lewat 7:00 petang, kami terpaksa mendapatkan air di water point 15 minit menurun dari Kem Pacat. Kami mengambil masa untuk berehat dan cuba mengurangkan masalah kecederaan yang dihadapi peserta. BKG telah menerangkan kepada peserta mengenai apa yang bakal dihadapi semasa perjalanan nanti. Sudah pastinya perjalanan bakal ditempuh pada malam hari dan masalah kekurangan lampu suluh sedikit menyukarkan lagi perjalanan.

BKG mengambil langkah berhati-hati dan tidak terburu-buru semasa perjalanan turun, kami cuba mengelakkan peserta berasa takut dan panik. Cuaca sejuk mula menambah kesukaran perjalanan, bunyi-bunyian hidupan hutan memeriahkan perjalanan. BKG mengambil tindakan berjalan dalam kumpulan untuk mengatasi masalah lampu dan mengurangkan lagi risiko lain. Alhamdulillah semuanya selamat tiba ke tapak khemah dengan selamat walaupun dalam waktu yang agak lewat, lebih kurang 10:30 malam semua 4 peserta selamat tiba.

Ini merupakan pengalaman pertama BKG berjalan dalam malam menuruni Gunung Nuang, syukur semuanya selamat. Pengalaman ini akan diambil untuk mematangkan lagi BKG dalam sukan lasak mendaki gunung ini. Ucapan terima kasih BKG kepada peserta kali ini kerana sudi menggunakan perkhidmatan kami, sekiranya ada kekecewaan dalam tempoh BKG menjadi guider harap dimaafkan dari awal hingga akhir. Kepada yang berjaya menawan puncak, tahniah kami ucapkan dan kepada yang tidak berjaya anggap ini 1 permulaan untuk terus cuba menawan puncak gunung. InsyaALLAH kita berjumpa lagi



Sunday, January 29, 2012

Gunung Nuang: UITM Segamat, Johor

Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan, selesai sudah aktiviti yang dijalankan selama 3 hari 2 malam pada 27 - 29 Januari 2012. Peserta kali ini terdiri daripada pelajar-pelajar dari UITM Segamat, Johor. Seramai 28 orang peserta termasuk seorang Cik kaunselor sebagai pengiring menyertai aktiviti mendaki Gunung Nuang pada kali ini, daripada 28 orang peserta hanya lebih 15 orang peserta berjaya menawan puncak Gunung Nuang. Tahniah diucapkan kepada yang berjaya menawan puncak gunung, pada yang tidak berjaya anggap ini sebagai 1 permulaan. 


BKG menyusun sepuluh jari memohon keampunan sekiranya ada kekecewaan atau ada yang berkecil hati sepanjang kami menjadi guider , kami cuba memberikan yang terbaik kepada semua peserta. BKG menganggap aktiviti sebagai SUKSES kerana majoriti peserta berjaya menawan puncak gunung tertinggi di Selangor ini, kejayaan ini juga didorong dengan kekuatan mental dan fizikal para peserta. Diharapkan aktiviti ini dapat memberi motivasi kepada peserta untuk menjalani kehidupan seharian, kami disini mendoakan kejayaan kepada semua peserta. Semoga berjaya dalam hidup dan dapat mencapai cita-cita yang di impikan!
















InsyaALLAH kita bertemu lagi, jangan segan menghubungi kami untuk sebarang perkongsian aktiviti atau berkongsi sebarang pendapat dan juga ketidakpuashatian sepanjang aktiviti dijalankan. Kami disini pasti merindui aktiviti bersama pelajar-pelajar UITM Segamat Johor ini, anda semua memang terbaik. Like juga laman facebook kami  http://www.facebook.com/pages/Budak-KAKI-Gunung/350400928319786 (",)



Monday, October 17, 2011

Gunung Nuang - Kumpulan KWSP Klang (15 Oktober 2011)


Terubat rindu BKG ingin ke gunung lagi, sudah lama tak main kotor. Pada Sabtu 15 Oktober 2011 lepas BKG sekali lagi menjadi guide membawa 1 kumpulan besar dari KWSP Klang seramai 36 orang, cuma kali ini BKG hanya membantu Mohamad Najid dan juga Amir dalam menjayakan akiviti yang diuruskan. BKG terdiri daripada 4 ahli, Emy, Sazwan, Aiman dan Fadli selain itu kami juga bekerjasama dengan ketua penganjur Najid dibantu Amir dan Nadirah.

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan selamat walaupun matlamat asal tidak dapat dicapai, menurut atas kertas matlamat ingin menawan puncak Gunung Nuang. Akibat masa yang tidak mencukupi, matlamat itu terpaksa dilupakan atas faktor-faktor keselamatan. Secara keseluruhnya kami berjaya membawa kumpulan ini selamat ke Kem Pacat dan turun semula ke tempat berlepas. Pencapaian yang ditunjukkan para peserta membuatkan kami berasa kagum kerana peserta terdiri dari warga veteran, pertengahan, wanita dan kanak-kanak.

Taklimat dan kata-kata aluan

Bacaan doa dari Najid

Pendakian bermula

Aktiviti bebas

Aktiviti bebas

Tahniah dari BKG kepada semua peserta, permulaan yang baik. Tahniah juga kepada semua guider kerana berjaya sekali lagi membawa 1 kumpulan yang besar mendaki Gunung Nuang. Diharapkan kelemahan-kelemahan dan kesilapan-kesilapan dalam menjadi guider dapat diperbaiki dan tidak diulangi, insyaALLAH.




Monday, July 18, 2011

17 Julai 2011 - Guider- Kem Lolo, Gunung Nuang (Vol 2)

Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar pada aktiviti 17 Julai yang lalu, semua peserta, pensyarah dan guider yang mengikuti aktiviti ini selamat naik dan turun. Tiada masalah yang terlalu serius yang dihadapi kali ini cuma ada seorang peserta mengalami sesak nafas (lelah) dan beberapa peserta yang mengalami kekejangan otot. Walaupun begitu mereka masih lagi bersemangat dan terus berjalan dan mendaki untuk bersama-sama peserta-peserta yang lain untuk sampai ke destinasi yang dituju iaitu Kem Lolo.

Pembahagian makanan dan minuman kepada peserta ↑

Taklimat ringkas dari wakil BKG dan bacaan doa dari Amir ↑

Perjalanan bermula kira-kira jam 9:30 pagi, kesemuanya kelihatan begitu bersemangat dan bertenaga ↑

Tiba di wakaf akhir kira-kira 12:30 tengahari, terpancar wajah kepenatan tetapi masih tetap bersemangat ke destinasi dituju ↑

Setelah berehat hampir 15 minit, pendakian ke Kem Lolo bermula. Perjalanan sedikit mencabar dengan keadaan jalan yang agak kecik dan sempit selain terpaksa melintas beberapa anak sungai ↑

Kira-kira jam 1:45 tengahari kesemua peserta tiba ke destinasi yang dituju, Kem Lolo. ↑

Waktu yang ditunggu-tunggu para peserta dan 2 pensyarah yang turut mengikuti aktiviti ini, makan tengahari. Jelas kelihatan peserta kelaparan dan kepenatan! ↑

Peserta bergambar kenangan di Kem Lolo sebelum turun meneruskan perjalanan balik ↑

Penerimaan plak penghargaan daripada peserta yang disampaikan oleh Puan Warti sambil disaksikan Puan Fazida kepada wakil BKG, terima kasih diatas penghargaan ini. ↑


Kami dari BKG mengharapkan semua peserta dan 2 pensyarah yang mengikuti aktiviti ini berpuas hati dengan perkhidmatan kami, jika terdapat kekecewaan mahupun kesilapan dari kami mohon dimaafkan. Ucapan jutaan terima kasih juga kepada semua, diatas penghargaan yang diberikan kepada BKG. Kami dari BKG mengharapkan serta mendoakan semua peserta dari Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi berjaya dalam pembelajaran dan mencapai apa yang dicitakan, INSYAALLAH. Kepada 2 puan yang turut mengikuti aktiviti kali ini, terima kasih kami ucapkan atas layanan mesra yang diberikan, puan memang best! Kepada Azman, ucapan terima kasih juga dan tahniah kerana berjaya dalam mengetuai peserta. BKG juga ingin mengucapkan tahniah kepada guider-guider kerana berjaya dalam aktiviti yang seramai 44 peserta ini, BKG BOLEH!!

Terima Kasih semua...........



Tuesday, July 12, 2011

17 Julai 2011 - Guider- Kem Lolo, Gunung Nuang (Vol 1)

Sekali lagi BKG menjadi guider, kali ini peserta dari Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam Bangi. Dijangkakan peserta seramai 70 orang yang diketuai oleh Azman (wakil peserta). 45 wanita & 25 lelaki juga terdapat 2 pensyarah yang akan menyertai mereka. Aktiviti yang cuba diadakan peserta lebih kepada penerokaan hutan melihat flora & fauna selain membuat penyelidikan mengenai hutan.

Ini merupakan 1 penghargaan kepada BKG kerana dipilih sekali lagi untuk menjadi guider, untuk rekod ini merupakan jumlah peserta yang teramai yang dibawa sejak BKG ditubuhkan. Terima kasih diucapkan kepada mereka-mereka yang mendapatkan perkhidmatan BKG, ucapan terima kasih juga diatas kepercayaan yang diberikan.

InsyaALLAH kami dari BKG akan memberikan yang terbaik kepada para peserta, itu janji kami!

VOL 2 <-- klik link


Sunday, July 3, 2011

Gunung Nuang - Laluan Baru (3 Julai 2011)

Mungkin ramai yang sudah menawan puncak gunung tertinggi Selangor, Gunung Nuang. Ramai juga yang sudah sedia maklum tahap kekerasan dan kepayahan trek pendakian selepas Kem Pacat ke puncak gunung. Hanya yang benar-benar mempunyai ketahanan mental yang kuat mampu menawan puncak ini, tahap kesukaran pada laluan banyak membuatkan ramai yang kecundang dan berpatah balik.

Dalam pada ingin menawan puncak gunung ini mungkin ramai yang tidak tahu akan kewujudan laluan baru yang lebih santai dan mempunyai air terjun yang cantik dan sesuai bagi yang suka bermandi manda, walaupun begitu laluan ini mengambil masa yang lebih berbanding mengikut laluan balak. Laluan baru ini mengambil masa lebih kurang 2 - 3 jam (mengikut ketahanan) perjalanan dari pintu pagar hingga ke jalan penghujung laluan balak (jalan terakhir ber-tar).

Pada Ahad 3 Julai 2011 yang lalu beberapa ahli BKG telah meneroka dan merasai sendiri laluan baru ini, sungguh berpuas hati walaupun mengambil masa yang lama. Trek agak santai dan menyamankan dengan bunyi air terjun yang sering menyapa telinga, laluan baru ini juga menemukan beberapa anak sungai dan air terjun yang mengasyikkan. Banyak tempat menarik untuk mandi manda terdapat pada laluan baru ini, keasyikan melihat air terjun dan lubuk yang dalam banyak membuatkan kami lupa akan penat mendaki.

Antara air terjun dan anak sungai yang mengujakan, terdapat juga lubuk dalam yang dianggarkan mempunyai kedalam lebih 2 meter. ↑↑

Selain air terjun dan lubuk dalam, laluan baru ini juga mempunyai tumbuh-tumbuhan yang menghijau sesuai bagi pengkaji tumbuhan hutan dan terdapat juga serangga-serangga pelbagai bentuk dan rupa yang jarang di temui. Menurut renjer hutan, terdapat juga Tikus Buluh yang mendiami hutan di gunung ini. Tikus Buluh ini berwarna putih dan menjadikan rebung buluh sebagai makanan, menurut renjer lagi Tikus Buluh ini bersaiz besar berbanding tikus biasa. Laluan baru ini juga sedikit lembap kerana berdekatan dengan sungai, kelembapan ini menyebabkan laluan ini menjadi habitat pacat. Untuk peserta yang akan mencuba laluan baru ini di ingatkan supaya berhati-hati dan sentiasa membuat persedian awal bagi menghindari pacat.

Antara hidupan dan serangga yang ditemui sepanjang perjalanan. ↑↑

Kehijauan dan ketinggian pokok membuatkan perjalanan lebih redup dan nyaman, tidak seperti laluan balak yang panas disinari cahaya matahari. Keadaan ini membuatkan perjalanan tidak terasa sukar, walaupun ada laluan pacak. Melihat dari kedaan fizikal pokok yang terdapat disana, dianggarkan berusia puluhan tahun dan mungkin ada yang mencapai ratusan tahun. Selain itu banyak juga pokok-pokok berduri yang terdapat di tepi-tepi laluan, pendaki diminta berhati-hati jika ingin menggunakan dahan-dahan pokok sebagai sokongan bagi mengelakkan kecederaan.

1- Antara pokok berduri dan pokok yang dipercayai berusia lebih dari 50 tahun atau lebih (gambar atas)
2- Papan tanda dan tunjuk arah laluan baru boleh dilihat selepas hampir 200 meter perjalanan dari pintu pagar (gambar bawah)

Penerokaan laluan baru ini dianggap paling menarik, kami sungguh berpuas hati dengan keindahan air terjun yang terdapat pada laluan ini. Bagi yang ingin mencuba laluan ini diharapkan tidak terkeliru dengan laluan bercabang, dapatkan dulu info dari renjer bertugas.

4 ahli BKG yang menyertai aktiviti kali ini ↑↑

BKG menyarankan kepada pendaki-pendaki supaya mencuba laluan baru ini, ianya lebih mempesonakan. Bagi yang gemar bermandi manda ia memang tempat yang sesuai, terdapat banyak lubuk yang pasti tidak anda lupakan tetapi diharapkan anda lebih berhati-hati pada pusaran air. Bagi pendaki yang ingin ke puncak tidak digalakkan mengikut laluan ini kerana masa akan banyak terbuang disini, laluan balak lebih cepat berbanding laluan baru.


Wednesday, May 25, 2011

Gunung Nuang 2011 - Edisi ke-3 (Bergambar)

Aksi depan kamera sebelum memulakan pendakian ↑

Bergambar bersama Mimie selaku ketua kumpulan LC ↑


Memori Gunung Nuang bersama peserta ↑

Take 5, penat ↑

LC (Let's Conquer) ↑

Tiada kata dapat diungkapkan ketika menjejakkan kaki di puncak ↑


Monday, May 9, 2011

Gunung Nuang 2011 - Edisi ke-3

Ahli BKG akan sekali lagi menakluki puncak Gunung Nuang buat kali ke-3, edisi kali ini disertai 6 orang pelajar universiti. Aktiviti kali ini lebih kepada menjadi penunjuk arah kepada pelajar-pelajar terbabit yang pertama kali cuba menawan puncak Gunung Nuang, selain itu ia juga mengubati kerinduan ahli-ahli BKG bermandi peluh memanjat gunung dan merasai kesejukan air gunung. Seramai 5 orang ahli BKG akan mengikuti aktiviti kali ini.

Tarikh: 14/05/2011 - 15/05/2011 (2 hari 1 malam)
Masa: 7:00 am - 14/05/2011 (pintu masuk utama)
Aktiviti: Menjadi penunjuk arah & BBQ (ahli BKG sahaja)

Di harapakan aktiviti kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, insyaALLAH. AMIN...


Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi kami....


Saturday, February 5, 2011

Gunung Nuang Edisi II (3 - 4 Februari 2011)



Pendakian pada edisi ke II menawan puncak Gunung Nuang kali ini agak mencabar sedikit berbanding edisi lalu, ini berikutan terdapat kerosakan laluan dakian dan kejadian pokok tumbang. Kerosakan laluan dakian dan agak basah sedikit memberi kesukaran pada pendakian ke puncak (selepas Kem Pacat) kepada kesemua 8 peserta tetapi itu tidak mematahkan semangat menawan puncak gunung tertinggi di Selangor buat kali kedua.Selain dari kerosakan laluan dan kejadian pokok tumbang, khemah Team Budak Kaki Gunung (BDK) juga di timpa hujan pada sebelah malam. Cuaca sejuk dan sedikit lembab juga menjadikan XPDC kali ini lebih mencabar dan memenatkan.

Sedikit peringatan pada pendaki yang baru ingin mendaki Gunung Nuang supaya berhati-hati dan bersedia menghadapi segala kejadian yang diluar jangkaan seperti tanah runtuh, pokok tumbang, hujan, angin kuat dan sebagainya. Perancangan awal dan teliti perlu sebelum memulakan pendakian, Alhamdulillah sejak dari edisi I hingga edisi II BDK selamat sampai dan balik seperti yang dirancangankan.
EDISI I ← klik sini