Sunday, July 3, 2011

Gunung Nuang - Laluan Baru (3 Julai 2011)

Mungkin ramai yang sudah menawan puncak gunung tertinggi Selangor, Gunung Nuang. Ramai juga yang sudah sedia maklum tahap kekerasan dan kepayahan trek pendakian selepas Kem Pacat ke puncak gunung. Hanya yang benar-benar mempunyai ketahanan mental yang kuat mampu menawan puncak ini, tahap kesukaran pada laluan banyak membuatkan ramai yang kecundang dan berpatah balik.

Dalam pada ingin menawan puncak gunung ini mungkin ramai yang tidak tahu akan kewujudan laluan baru yang lebih santai dan mempunyai air terjun yang cantik dan sesuai bagi yang suka bermandi manda, walaupun begitu laluan ini mengambil masa yang lebih berbanding mengikut laluan balak. Laluan baru ini mengambil masa lebih kurang 2 - 3 jam (mengikut ketahanan) perjalanan dari pintu pagar hingga ke jalan penghujung laluan balak (jalan terakhir ber-tar).

Pada Ahad 3 Julai 2011 yang lalu beberapa ahli BKG telah meneroka dan merasai sendiri laluan baru ini, sungguh berpuas hati walaupun mengambil masa yang lama. Trek agak santai dan menyamankan dengan bunyi air terjun yang sering menyapa telinga, laluan baru ini juga menemukan beberapa anak sungai dan air terjun yang mengasyikkan. Banyak tempat menarik untuk mandi manda terdapat pada laluan baru ini, keasyikan melihat air terjun dan lubuk yang dalam banyak membuatkan kami lupa akan penat mendaki.

Antara air terjun dan anak sungai yang mengujakan, terdapat juga lubuk dalam yang dianggarkan mempunyai kedalam lebih 2 meter. ↑↑

Selain air terjun dan lubuk dalam, laluan baru ini juga mempunyai tumbuh-tumbuhan yang menghijau sesuai bagi pengkaji tumbuhan hutan dan terdapat juga serangga-serangga pelbagai bentuk dan rupa yang jarang di temui. Menurut renjer hutan, terdapat juga Tikus Buluh yang mendiami hutan di gunung ini. Tikus Buluh ini berwarna putih dan menjadikan rebung buluh sebagai makanan, menurut renjer lagi Tikus Buluh ini bersaiz besar berbanding tikus biasa. Laluan baru ini juga sedikit lembap kerana berdekatan dengan sungai, kelembapan ini menyebabkan laluan ini menjadi habitat pacat. Untuk peserta yang akan mencuba laluan baru ini di ingatkan supaya berhati-hati dan sentiasa membuat persedian awal bagi menghindari pacat.

Antara hidupan dan serangga yang ditemui sepanjang perjalanan. ↑↑

Kehijauan dan ketinggian pokok membuatkan perjalanan lebih redup dan nyaman, tidak seperti laluan balak yang panas disinari cahaya matahari. Keadaan ini membuatkan perjalanan tidak terasa sukar, walaupun ada laluan pacak. Melihat dari kedaan fizikal pokok yang terdapat disana, dianggarkan berusia puluhan tahun dan mungkin ada yang mencapai ratusan tahun. Selain itu banyak juga pokok-pokok berduri yang terdapat di tepi-tepi laluan, pendaki diminta berhati-hati jika ingin menggunakan dahan-dahan pokok sebagai sokongan bagi mengelakkan kecederaan.

1- Antara pokok berduri dan pokok yang dipercayai berusia lebih dari 50 tahun atau lebih (gambar atas)
2- Papan tanda dan tunjuk arah laluan baru boleh dilihat selepas hampir 200 meter perjalanan dari pintu pagar (gambar bawah)

Penerokaan laluan baru ini dianggap paling menarik, kami sungguh berpuas hati dengan keindahan air terjun yang terdapat pada laluan ini. Bagi yang ingin mencuba laluan ini diharapkan tidak terkeliru dengan laluan bercabang, dapatkan dulu info dari renjer bertugas.

4 ahli BKG yang menyertai aktiviti kali ini ↑↑

BKG menyarankan kepada pendaki-pendaki supaya mencuba laluan baru ini, ianya lebih mempesonakan. Bagi yang gemar bermandi manda ia memang tempat yang sesuai, terdapat banyak lubuk yang pasti tidak anda lupakan tetapi diharapkan anda lebih berhati-hati pada pusaran air. Bagi pendaki yang ingin ke puncak tidak digalakkan mengikut laluan ini kerana masa akan banyak terbuang disini, laluan balak lebih cepat berbanding laluan baru.


4 comments:

  1. mantap lah...saya pun suka gak panjat2 gunung ni...mengasyikan ....ilang masalah biar pun penat

    ReplyDelete
  2. +Man--> yes bro, mmg ilang tension..terbaik...

    ReplyDelete