Sunday, February 26, 2012

Gunung Nuang - SME Corp KL Sentral

Alhamdulillah selesai sudah aktiviti pada 25 & 26 Februari yang lalu, semuanya selamat pergi dan balik walaupun aktiviti ini terdapat sedikit pergelutan masa dan masalah kecederaan. Mujur sedikit persediaan yang BKG buat dapat membantu peserta meneruskan jua perjalanan, ini juga di dorong oleh semangat kental peserta sendiri. 


Peserta kali ini seramai 12 orang, terdiri daripada 10 peserta dari SME Corp dan 2 peserta persendirian. Daripada itu hanya seramai 8 orang peserta sahaja yang berjaya menawan puncak gunung tertinggi di Selangor ini yang mempunyai ketinggian 4898 kaki tinggi dari aras laut. Seawal 7:00 pagi peserta diberi sedikit taklimat dan info mengenai Gunung Nuang dan diiringi dengan bacaan doa memohon kesejahteraan ALLAH tuhan mencipta segala alam.





Pada awal perjalanan semuanya bermula seperti yang dirancangkan, peserta juga nampak bersemangat dengan aktiviti kali ini. Perjalanan ke Kem Pacat mula menggugat semangat, mental & fizikal, peserta mula terasa kesukaran trek yang mula memacak hampir 90 darjah. 2 peserta membuat keputusan menarik diri semasa separuh perjalanan ke Kem Pacat setelah hampir 1 jam 30 minit mendaki dari Kem Lolo untuk sekurang-kurangnya sampai ke kem yang juga dikenali sebagai Istana Pacat.




10 peserta selamat tiba ke Kem Pacat lebih kurang pada 12:00 tengahari, peserta mula menampakkan wajah-wajah kepenatan tetapi sedikit pun tidak mencalarkan semangat untuk menawan puncak Gunung Nuang . Perjalanan diteruskan tanpa menoleh kebelakang lagi tetapi kali ini trek benar-benar menduga para peserta sehinggakan seorang lagi peserta menarik diri selepas baru sahaja 10 minit perjalanan dari Kem Pacat.



Pada lebih kurang 2:00 petang peserta tiba di Puncak Pengasih yang juga dipanggil Puncak Kecik, tiba disini mula ada menampakkan permasalahan. Peserta mula kekurangan air dan bergelut untuk mengejar masa, kesukaran trek banyak menggugat peserta. Masalah kelaparan dan kehausan mula menghantui, peserta hanya berbekalkan semangat untuk terus mendaki ke puncak. Kecederaan mula menyerang peserta, 2 peserta wanita mengalami kecederaan lutut dan kuku kaki.

Dalam pergelutan dengan masalah, akhirnya 9 peserta bersama 2 ahli BKG sampai ke puncak dalam kelewatan waktu. Masalah terus dirasai apabila ada peserta terlupa membawa lampu suluh dan kehabisan air minuman. Setelah memikirkan untuk menghadapi masalah yang pasti akan berlaku, BKG menyarankan peserta berehat seketika di puncak untuk mengembalikan semula tenaga yang telah diguna.






Hampir 4:00 petang peserta bergerak turun dari puncak ke tapak khemah di Kem Lolo, masalah air dan kecederaan membuatkan perjalanan ini menghadapi kesukaran. Kumpulan 9 peserta ini berpecah menjadi 2 kumpulan, sekumpulan 5 peserta lebih laju menuruni gunung meninggalkan 4 peserta lain bersama 2 ahli BKG. Ini berikutan masalah kecederaan yang dihadapi, untuk mengurangkan risiko BKG melepaskan seberapa banyak peserta turun lebih awal.

Sekumpulan 4 peserta dan 2 ahli BKG tiba di Kem Pacat lewat 7:00 petang, kami terpaksa mendapatkan air di water point 15 minit menurun dari Kem Pacat. Kami mengambil masa untuk berehat dan cuba mengurangkan masalah kecederaan yang dihadapi peserta. BKG telah menerangkan kepada peserta mengenai apa yang bakal dihadapi semasa perjalanan nanti. Sudah pastinya perjalanan bakal ditempuh pada malam hari dan masalah kekurangan lampu suluh sedikit menyukarkan lagi perjalanan.

BKG mengambil langkah berhati-hati dan tidak terburu-buru semasa perjalanan turun, kami cuba mengelakkan peserta berasa takut dan panik. Cuaca sejuk mula menambah kesukaran perjalanan, bunyi-bunyian hidupan hutan memeriahkan perjalanan. BKG mengambil tindakan berjalan dalam kumpulan untuk mengatasi masalah lampu dan mengurangkan lagi risiko lain. Alhamdulillah semuanya selamat tiba ke tapak khemah dengan selamat walaupun dalam waktu yang agak lewat, lebih kurang 10:30 malam semua 4 peserta selamat tiba.

Ini merupakan pengalaman pertama BKG berjalan dalam malam menuruni Gunung Nuang, syukur semuanya selamat. Pengalaman ini akan diambil untuk mematangkan lagi BKG dalam sukan lasak mendaki gunung ini. Ucapan terima kasih BKG kepada peserta kali ini kerana sudi menggunakan perkhidmatan kami, sekiranya ada kekecewaan dalam tempoh BKG menjadi guider harap dimaafkan dari awal hingga akhir. Kepada yang berjaya menawan puncak, tahniah kami ucapkan dan kepada yang tidak berjaya anggap ini 1 permulaan untuk terus cuba menawan puncak gunung. InsyaALLAH kita berjumpa lagi



5 comments:

  1. salam..

    kami juga mohon maaf andai ada kekurangan dari pihak kami.. terima kasih yg tak terhingga atas bantuan tuan2 dalam xpdc kami kali ni terutama bila ada yg injured dan terpaksa turun malam..
    yg tak berjaya tu akan repeat next time.. insyaAllah

    ReplyDelete
  2. Itu sudah tugas kami untuk memastikan semua peserta selamat pergi dan balik, harap semua berpuas hati dgn perkhidmatan kami. Thanks Bai kerana sudi pakai perkhidmatan kami

    ReplyDelete
  3. teringat pulak yg wktu kite org pergi sne

    ReplyDelete
  4. selamat dan memberikan informasi tentang gunung yang dapat didaki di semenanjung, salam dari...Belantara-Borneo.blogspot.com

    ReplyDelete