SANTUBONG: Kegirangan sekumpulan 37 penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, mendaki Gunung Santubong tanpa sebarang peralatan lengkap mengundang padah apabila mereka terperangkap dalam kesejukan selama tujuh jam di gunung itu, sebelum diselamatkan, kelmarin.
Sebelum insiden itu, kumpulan penuntut yang membabitkan 10 lelaki dan 27 wanita memulakan pendakian pada jam 9 pagi dan tiba di satu lokasi di gunung itu, pada jam 2 petang kelmarin.
Difahamkan, kebanyakan mereka penuntut tahun satu yang mengambil kesempatan sempena cuti pertengahan semester untuk mengisi masa lapang dengan mendaki gunung berkenaan.
Bagaimanapun, lapan daripada mereka mengambil keputusan berpatah balik dan menunggu di kaki gunung selepas menyedari hari semakin gelap, namun kumpulan berikutnya nekad meneruskan pendakian hingga ke puncak.
Seorang daripada mangsa, Ruzhaziq Mohd Zubir, 19, berkata, dia bersama rakan yang lain tiba di puncak gunung berkenaan pada jam 3 petang sebelum mengambil keputusan untuk turun selepas mendapati keadaan semakin gelap.
Menurutnya, ketika menuruni gunung, seorang daripada rakan mengalami kekejangan otot di kedua-dua lutut menyebabkan pergerakan mereka terbatas. “Pergerakan amat perlahan kerana rakan yang cedera itu terpaksa mengesot ketika menuruni kawasan curam.
“Malah, perjalanan turun dari puncak bertambah perlahan apabila seorang lagi rakan mengalami kecederaan sama,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas diselamatkan.
Ruzhaziq berkata, memandangkan keadaan semakin gelap, mereka terpaksa menghubungi rakan yang sudah tiba di kaki gunung bagi mendapatkan bantuan selepas dua rakan yang cedera tidak berupaya untuk berjalan lagi.
“Saya bersyukur dapat menuruni gunung dengan selamat selepas dibantu pihak berkuasa yang melakukan operasi menyelamat dan kejadian itu memberi pengajaran berguna kepada kami,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi, Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Sabaruddin Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.01 malam dan mengerahkan 19 anggota ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat bermula kira-kira setengah jam kemudian dengan menggunakan trek pendakian di gunung berkenaan.
“Semua penuntut berkenaan ditemui jam 10.13 malam iaitu di ‘Point 7’ pada ketinggian 1,080 dari paras laut dan mangsa pertama tiba di kaki gunung pada jam 11.42 malam diikuti mangsa lain pada jam 12.15 tengah malam. “Dua penuntut yang cedera dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati, kumpulan penuntut terbabit mendaki gunung tanpa sebarang kelengkapan termasuk lampu suluh, bekalan makanan selain tidak dikendalikan jurupandu arah.
Beliau berkata, operasi menyelamat itu turut disertai JPAM, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan polis.
credit: myMETRO
No comments:
Post a Comment