Wednesday, April 17, 2013

Pine Tree Hill & Twin Peak - Kuala Kubu Baru (13 April 2013)

Alhamdulilah berjaya misi menawan puncak Pine Tree Hill dan Twin Peak pada 13 April yang lalu, aktiviti ini disertai seramai 9 orang peserta terdiri daripada BKG dan beberapa orang kawan. Aktiviti ini dijalankan sebagai latihan untuk aktiviti CBL yang bakal dijalankan pada bulan Jun nanti, sila klik Chemerong Berembun Lansir untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti tersebut.

Pendakiaan kami dimulakan seawal 5:00 pagi, cuaca ketika itu berkabus, berangin dan sejuk, merupakan cabaran utama dalam aktiviti kali ini. Persediaan awal telah dibuat oleh semua peserta untuk menangani keadaan cuaca sebegitu, kami tiba di perkarangan Pine Tree Trail sekitar pukul 4:30 pagi. Setibanya disana peserta terus menyiapkan diri memakai kelengkapan mendaki dan penyediaan beg, keadaan yang sejuk memaksa kami untuk tidak berada lama di parkir kereta. 

5:00 pagi pendakiaan dimulakan, kabus tebal menghalang cahaya head lamp terus menembusi menerangi laluan, jarak penglihatan agak terhad ketika itu. Kami terpaksa berjalan dalam keadaan rapat bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, selain dapat membantu penglihatan yang agak terhad. Perjalanan ketika keadaan gelap memerlukan kelengkapan yang baik, kuasa bateri yang penuh untuk head lamp, pakaian yang terang juga dapat membantu sesama pendaki ketika perjalanan gelap. Elakan jarak yang jauh ketika berjalan dalam kumpulan selain tidak digalakkan berjalan berseorangan kita waktu gelap.

Terdapat beberapa pondok ataupun pit stop pada laluan ke puncak, ada yang masih kukuh berdiri ada juga yang sudah tumbang menyembah bumi. Pendaki diminta berhati-hati ketika melalui kawasan pondok kerana dikhuatiri pondok telah reput ataupun paku bertaburan sekitar pondok yang telah runtuh. Pada awal penjalanan/pendakian keadaan denai/laluan adalah mendatar dan kebanyakannya menurun kebawah, ini membuatkan perjalanan/pendakiaan lebih pantas dan dapat menjimatkan masa. Denai/ laluan juga terdapat tangga-tangga siap bertali memudahkan pendaki melalui denai/laluan ke puncak, ianya hanyalah pada awal perjalanan/pendakiaan.

Semakin hampir ke puncak Pine Tree, denai/laluan semakin menaik. Pada ketika itu pendaki diuji tahap ketahanan mental dan fizikal, perjalanan/pendakian menjadi perlahan dan banyak memakan masa. Pendaki terus diuji sehinggalah ke 1 tahap keadaan denai/laluan 90 darjah tegak, di denai/laluan itu disediakan tali untuk memudahkan pendaki terus mendaki denai/laluan sejauh 30 meter (lebih kurang). Pendaki perlu melepasi halangan denai/laluan menegak itu sebelum berjaya menawan puncak Pine Tree Hill yang setinggi 4751 kaki. Alhamdulillah kami berjaya menawan puncak kira-kira 8:30 pagi, keadaan sekitar masih lagi diselaputi kabus tebal, cuma sesekali cahaya matahari berjaya menembusi dan menerangi puncak.


Setelah kepenatan mengharung liku-liku perjalanan/pendakiaan, kami mengambil masa untuk berehat dan mengisi perut. Tidak dilepaskan untuk bergambar kenangan bersama-sama berlatar belakangkan keindahan alam yang menghijau, hanya pendaki sejati sahaja yang dapat merasai keindahan, kegembiraan ketika berada di puncak gunung mahupun bukit. Berehat sudah, makan pun sudah, masih ada lagi 1 puncak yang perlu ditakluki, puncak Twin Peak. Berada pada denai/laluan yang sama, rugi kiranya pendaki tidak meneruskan untuk menawan puncak Twin Peak.





Kami meneruskan perjalanan/pendakiaan ke Twin Peak bagi menjayakan misi menawan 2 puncak sekali gus, walaupun agak berat daya untuk meneruskan perjalanan/pendakian. Semua penat dilupakan hanya demi 1 tujuaan, iaitu menawan puncak. Perjalanan/pendakiaan ke Twin Peak  memakan masa lebih kurang 45 minit dari puncak Pine Tree, denai/laluan turun naik disajikan. Terdapat halangan-halangan akar-akar dan pokok-pokok yang sedikit sebanyak melambatkan perjalanan/pendakiaan, kali ini laluan lebih mudah berbanding ke puncak Pine Tree tadi.

Alhamdulillah, kami berjaya tiba di puncak Twin Peak. Keadaan puncak lebih landai dan rata berbanding puncak Pine Tree, begitu juga dengan pemandangan yang lebih menarik. Terdapat deretan gunung-gunung yang dapat dilihat dari puncak Twin Peak, sangat menakjubkan. Ketika ini kabus telah hilang dari pandangan, kami diterangi cahaya matahari yang memancar terus ke puncak. Keadaan menjadi panas, kami terpaksa berlindung di balik bayang-bayang pokok mengelakkan kepanasan. 




Setelah lebih kurang 15 minit berada di puncak Twin Peak, kami mengambil jalan untuk terus turun ke parkir kerana keadaan semakin panas di puncak. Setelah diuji semasa menawan kedua-dua puncak, kami diuji lagi semasa perjalanan/pendakiaan turun. Didalam keadaan yang semakin lemah kami dilimpahi hujan, persediaan awal untuk menangani perubahan cuaca sedikit sebanyak memulihkan kembali mental. Keadaan semakin sejuk, selain hujan turut dirasai angin sekali sekala menyapa tubuh. Perjalanan/pendakiaan ketika hujan sedikit sebanyak melambatkan peserta, pendaki diingatkan supaya membuat persediaan awal bagi menangani perubahan cuaca seperti hujan. Perubahan cuaca boleh membuatkan aktiviti yang dijalankan tergendala jadi persediaan awal perlu untuk mengelakkan berlakunya kecemasan ataupun kemalangan.

Walaupun didalam keadaan sejuk, akhirnya kami selamat tiba di pintu gerbang Pine Tree Trail, segala sakit dan penat hilang setelah berjaya pergi dan balik menawan puncak Pine Tree dan Twin Peak. Diharapkan ini merupakan pelajaran terbaik buat kami untuk terus kuat dalam sukan hiking ini, selain dapat pengalaman baru dan dapat dikongsikan dalam ruangan blog ini kepada semua pendaki. Pada padangan kami, dalam setiap apa jua yang ingin dijalankan pastikan semua persediaan perlu dilakukan dengan terperinci, tanya pakar-pakar sebagai ilmu tambahan selain mencari info didalam internet. Semoga berjaya dalam aktiviti yang dirancangkan........



3 comments: