Tuesday, January 22, 2013

White Water Rafting Sungai Kampar, Gopeng Perak - BKG & REDTOP



Salam,

Aktiviti kali ini membawakan cabaran yang berlainan, pengalaman yang berbeza. "White Water Rafting", aktiviti yang telah lama bermain difikiran, setelah mengadakan perbincangan dan sedikit penambahan akhirnya aktiviti ini dapat juga dinaik kan. Apa yang lebih menarik mengenai aktiviti ini adalah melibatkan 2 kumpulan "outdoor" iaitu dari kami sendiri Budak Kaki Gunung bersama REDTOP dari kumpulan dari Bangi. 


Hasil dari pengiklanan selama beberapa minggu ni laman "facebook", seramai 20 orang peserta telah berminat untuk menyertai aktiviti ini yang diadakan pada 12 dan 13 Januari 2013. Mengikut kalendar "Rafting", bulan Januari bukanlah bulan yang terbaik untuk mengadakan aktiviti ini, antara bulan yang menjadi kegemaran untuk aktiviti ini adalah bulan Disember setiap tahun. Ini kerana selalunya kuantiti air dan kedaan jeram ketika bulan itu sangat memberansangkan selalin mengalami fenomena "air besar" yang menjanjikan cabaran yang lebih banyak dan menarik.


Hentian Rawang menjadi tempat pertemuaan bagi peserta yang menyertai aktiviti kali ini, peserta juga mengambil ruang dan peluang untuk mengisi perut yang kosong dengan bersarapan sambil menunggu semua peserta tiba. Kebanyakan peserta tidak mengenali antara satu sama lain tetapi ini tidak mematahkan semangat peserta yang ternyata sangat membara dan sudah tidak sabar-sabar lagi. Sekitar jam 8:30 pagi selepas mengisi perut dan juga memenuhkan tangki minyak kereta, peserta mula bergerak secara berkonvoi bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku. 


Kira-kira 10:00 pagi kami tiba di Tol Gopeng dan berhenti menunggu peserta yang terlewat, baru hampir 5 minit menunggu "guide" Radak Adventure yang kami gunakan untuk aktiviti ini tiba bagi mengiringi dan membawa kami ke teratak mereka. 15 minit menunggu akhirnya ketibaan sebiji kereta peserta yang kelewatan, kami terus dibawa ke teratak Radak Adventure yang merupakan "tapak banglo" kami selama 2 hari 1 malam.









Sesi memunggah barang bermula selain sesi bersuai kenal antara satu sama lain, dan juga sesi soal jawap bersama 'guide' Radak Adventure. Suasana hijau yang nyaman memang menenangkan, ketenangan ini membuatkan kepenatan memandu selama 2 jam hilang dan semangat untuk beraktiviti kembali membara. Setelah semuanya selesai dikemas dan dipunggah peserta mula menukar pakaian 'Rafting' dan memakai baju aktiviti yan turut disediakan bagi memeriahkan lagi suasana selain menyeragamkan semua peserta. 

Sekitar jam 11:00 pagi kami diberikan taklimat mengenai aktiviti dan taklimat mengenai 'rafting', sesi ucapan dan kata-kata aluan dari penganjur dan disusuli penerangan mengenai 'rafting', keselamatan, cara-cara pemakaian baju keselamatan, bahasa isyarat dan sebagainya oleh pihak Radak Adventure yang bertugas. Kelihatan peserta memberikan sepenuh tumpuaan semasa taklimat diberikan, mungkin mula timbul rasa gugup, takut dan berdebar-debar disaat itu. Apa yang pasti semangat mereka semakin membara dan semakin tidak sabar untuk memulakan aktiviti 'rafting' ini.








Setelah taklimat diberikan, peserta diberikan kelengkapan 'rafting' seperti jaket keselamatan dan 'paddle' yang menjadi 'senjata' para peserta pada aktiviti kali ini. Peserta dibawa menaiki 4wd dari teratak persinggahan ke jeram yang menjadi medan pertarungan semua peserta, dengan lengkap berjaket keselamatan dan bertopi keselamatan peserta mengharungi selama 5 - 10 minit perjalanan ke jeram yang dimaksudkan. Setibanya disana kami diberikan satu lagi taklimat sebelum aktiviti dijalankan iaitu mengenai 'water confident', ianya adalah keadaan dimana jika peserta terjatuh dari 'raft' dan berada dalam air. Ianya lebih kepada apa yang perlu dilakukan sekiranya terjatuh dan berada didalam air, ketika itu peserta dilepaskan seorang demi seorang merasai sendiri keadaan didalam air dan melalui jeram yang memang menengelamkan peserta dan memaksa peserta 'meminum' keenakan air terjun.




Selesai 'water confident' dan aksi meminum air terjun, peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan. 5 orang 1 kumpulan bersama seorang 'guide' didalam 1 'raft', ini bermakna ada 4 'raft' dalam aktiviti kali ini. Bermula lah aktiviti peserta, dilepaskan 1 kumpulan kepada 1 kumpulan, ternyata peserta sangat teruja dalam menjayakan aktiviti ini. Setiap 'raft' mempunyai seorang 'guide' atau 'rafter' yang berpengalaman dari Radak Adventure, 'guide' akan memberikan arahan kepada peserta dalam kumpulan seperti 'forward' 'backward' 'boom boom' 'jump jump' 'on your job' mengikut keadaan jeram dan air dihadapan. Di Sungai Kampar ini terdapat beberapa jeram yang agak mengerikan yang memaksa peserta berpaut pada tali yang berada pada 'raft', dalam situasi ini pengalaman 'guider' amat diperlukan dan tercabar. Terdapat juga peserta yang terjatuh saat melalui jeram yang begitu mencabar, sesi 'water confident' sebelum aktiviti banyak membantu peserta yang terjatuh. Dilaluan ini juga terdapat tempat-tempat yang dikhas kan oleh 'guide' untuk berehat dan menunggu kumpulan yang dibelakang, masa yang terluang ini digunakan peserta untuk bergambar dan ada juga yang sempat bermandi merasai kesejukan air terjun. 




Setelah berhempas pulas mengharungi jeram laluan selama hampir 2 jam lebih, peserta tiba dipenghujung laluan, ketika itu jam menunjukkan pukul 2 lebih. Dengan keadaan yang basah dan diterik mentari perut sudah mula memberontak kelaparan, hanya beralaskan biskut-biskut dan buah-buahan semasa beraktiviti perut sudah tidak tertahan lagi. Walaupun begitu tidak terlihat sedikit wajah kehampaan malah peserta seperti tidak berasa puas untuk ber'rafting', malah ada juga yang menyuarakan untuk memulakan semula. Semasa menunggu pengangkutan rasmi tiba mengambil peserta untuk kembali ke teratak, peserta sempat bermandi manda melepaskan gian dan beraksi tiruk. Sekitar jam 2:30 petang pengangkutan rasmi peserta iaitu lori tiba bagi mengambil peserta yang ternyata diselubungi kelaparan, kepuasaan dan kepenatan ber'rafting' mula kelihatan. Perjalanan selama 10 minit lebih kurang menaiki lori, kami tiba di teratak persinggahan, makanan tengahari telah tersedia terhidang. Tiada apa lagi mampu dilakukan hanyalah makan, kelaparan menghantui. Makanan tenghari ini disediakan pihak Radak Adventure, ianya termasuk dalam pakej 'rafting' standard, jadi tidak perlu bersusah payah nak memasak.


Disebelah petangnya peserta mengadakan aktiviti bebas, peluang ini tidak disia-siakan, peserta turun sekali lagi ke air terjun / sungai untuk berendam menyejukkan badan. Sekali lagi 4wd digunakan sebagai pengangkutan untuk ke destinasi, kali ini perjalanan lebih mencabar kerana perlu melalui laluan sawit. Setibanya di destinasi tanpa membuang masa peserta terus berendam, pelbagai aksi dan gelagat dapat dilihat pada ketika itu. Ada juga yang cuba belajar untuk berenang sesama sendiri, membuat aksi 'lipatan' ke dalam air, bermain bola tampar air dan macam-macam lagi.






Setelah penat beraksi didalam air kini tiba ke acara kemuncak aktiviti iaitu BBQ dan 'ice breaking' sesi suai kenal sesama peserta bersama penganjur. Setelah siap membersihkan diri selepas berendam sepanjang petang, segala persiapan untuk BBQ diaturkan. Dari menghidupkan api hinggalah ke acara membuat rencah dan bahan utama BBQ. Kali ini peserta melakukan kerja secara bergotong royong dan tolong menolong, lelaki membuat tugasan yang berat seperti memasang 'fly ground', menghidupkan api, membelah kayu api dan sebagainya, pihak perempuan pula lebih kearah dapur seperti penyediaan bahan mentah, memotong sayur membancuh air, menyiapkan hidangan dan mengemas meja makan.

Antara menu BBQ kali ini adalah ayam panggang, kentang bakar, sosej bakar, spageti olio, buah-buahan, kekacang keropok, air ribena laici dan macam-macam lagi. Tampak semuanya berbaloi dengan yuran yang dikenakan, kelihatan semua peserta berpuas hati dengan aktiviti yang dilakukan. Setelah kenyang menjamu selera, kini tiba acara kemuncak iaitu 'ice breaking' sesi suai kena. Ianya dilakukan secara 'round table' seorang demi seorang, peserta dikehendaki memperkenalkan diri dan menceritakan serba sedikit pengalaman dalam sukan 'outdoor' ini. Ternyata kebanyakan peserta-peserta bukan lah pertama kali membuat sukan 'outdoor' seperti ini, ada antaranya yang sudah menawan gunung tertinggi di Malaysia, Gunung Kinabalu, ada juga yang telah melakukan sukan 'sky diving', ada juga yang telah menawan gunung-gunung antara yang tertinggi di Semenanjung Malaysia dan perbagai pengalaman yang luar biasa. Melalui 'ice breaking' ini juga peserta-peserta dapat bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman mereka selama mereka berkecimpung dalam sukan 'outdoor', diharapkan acara 'ice breaking' ini dapat diteruskan dan dilakukan pada setiap aktiviti yang dilakukan oleh sesuatu kumpulan 'outdoor'.









Alhamdulillah aktiviti 'rafting' kali ini berjaya dengan cemerlang tanpa sebarang kejadiaan yang tidak diigini berlaku, jutaan terima kasih juga dari kami BudakKAKIGunung kepada semua peserta yang mengikuti aktiviti bersama Redtop ini. Diharapkan semua peserta berpuas hati dengan aktiviti yang dijalankan, segala kekecewaan, kekurangan, ketelanjuran dari kami mohon dimaafkan. Sesungguhnya yang baik itu datang dari ALLAH yang buruk itu datang dari kami, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada REDTOP, Radak Adventure dan Boy kerana turut menyerikan dan menjayakan aktiviti pembukaan 2013 ini. Kami berharap dengan kerjasama ini kita dapat mengeratkan lagi talian persahabatan bukan sahaja dalam sukan 'outdoor' malah didalam bidang-bidang yang lain, InshaALLAH. Sehingga berjumpa lagi dilain aktiviti yang bakal menyusul, tunggu..................


Wednesday, November 14, 2012

Perlawanan Persahabatan Futsal: BKG vs KONSEMA

Satu lagi aktiviti santai yang menyihatkan, futsal persahabatan antara BKG dan KONSEMA. KONSEMA merupakan satu kumpulan bebas yang sering melakukan aktiviti-aktiviti bebas, amal, extreme dan santai, ia terdiri daripada belia-belia aktif yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru. KONSEMA adalah singkatan daripada Komuniti Sentuhan Belia Malaysia, KONSEMA juga pernah menggunakan perkhidmatan BKG dalam menjayakan program mereka menawan puncak Gunung Nuang via Hulu Langat.

Sejak dari itu perhubungan antara dua kumpulan ini semakin erat, sering bertukar - tukar aktiviti dan bertukar pendapat dalam meneruskan perjalanan membuat aktiviti sehinggalah tercetusnya idea melakukan aktiviti futsal persahabatan ini. Aktiviti ini juga bertujuan memperkenalkan BKG dan KONSEMA kepada ahli masing-masing selain dapat bersenam dan bersukan. 

Aktiviti: Futsal Persahabatan - BKG vs KONSEMA
Tarikh: 2 November 2012
Masa: 10pm - 12am
Tempat: Sport Planet Ampang, Kuala Lumpur








Ucapan terima kasih kepada pemain-pemain BKG kerana memberikan komitmen dalam menjayakan aktiviti ini, diharapkan aktiviti sihat seperti ini dapat diteruskan. BKG juga sedang cuba untuk mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan bersama satu kumpulan pergunungan dimasa akan datang. Setinggi penghargaan khususnya kepada presiden KONSEMA iaitu Ajid kerana merealisasikan program ini serta semua pemain KONSEMA kerana turut sama menjayakan aktiviti ini. Semoga berjumpa lagi di lain program dan aktiviti.



BERKELAH Maran, Pahang (27 - 28 Oktober 2012)

Pada 27 dan 28 Oktober lalu kami di BKG telah membuat satu aktiviti santai menginap di Air Terjun Berkelah Maran Pahang, disertai 35 peserta dan merupakan peserta teramai yang pernah BKG terima selama beraktiviti. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan selamat walaupun seminggu sebelum itu dikhabarkan ada kematian akibat terjatuh lalu lemas. Terima kasih juga diucapkan kepada peserta-peserta yang telah menjayakan aktiviti ini, BKG amat-amat hargai pernyertaan anda.

Aktiviti ini dimulakan dengan berkumpul di Taman Cheras Jaya Balakong pada awal pagi 27 Oktober selain membahagi-bahagikan 'ration' atau bahan mentah untuk dibawa secara bersama. Segala kelengkapan seperti khemah, 'fly', 'ground', periuk, kuali dan bahan mentah diperiksa untuk mengelakkan tertinggal, terima kasih juga kepada peserta yang sama-sama membantu meringankan beban.

Perjalanan ke destinasi dijalankan secara konvoi bagi mengelakkan peserta tersesat dan sebagainya, perjalanan kami dimulakan sekitar pukul 3 pagi selepas sedikit penerangan dan kata-kata aluan. Konvoi diketuai wakil BKG, Emi dengan kereta Myvi dan juga selaku guider pada aktiviti ini. Alhamdulillah perjalanan sebanyak 8 biji kereta ke destinasi dituju selamat tanpa sebarang kejadiaan yang tidak diingini dan juga menepati masa yang ditetapkan.




Sekitar jam 6 pagi kami tiba di destinasi, peserta menukar pakaian dan bersarapan ringan sementara menunggu lori untuk ke destinasi seterusnya. Segala peralatan dan bahan mentah diperiksa sekali lagi bagi mengelakkan ada yang tertinggal, sebelum memulakan perjalanan ke hutan Air Terjun Berkelah. Jelas peserta sudah tidak sabar-sabar lagi mahu melihat sendiri kecantikan Air Terjun Berkelah ini dan menyelami kedalam dan merasai sendiri kesejukan air terjun ini.





Perjalanan menaiki lori pula memakan masa lebih kurang 10minit - 15minit, mengharungi perjalanan laluan 'offroad' sambil melalui hutan membuatkan peserta terpegun dan berasa tidak sabar untuk memulakan perjalanan. Kesejukan pagi tidak mematahkan semangat peserta-peserta meneruskan niat ke Air Terjun Berkelah yang bakal menyajikan pemandangan yang cukup tidak disangka-sangka.

Selepas perjalanan menaiki lori, peserta perlu berjalan dilaluan hutan untuk ke destinasi seterusnya. Perjalanan yang memakan masa sekitar 2-3 jam itu melalui pokok-pokok hutan, hijau jernih air terjun selain bunyi-bunyian air terjun menghempas batu-batuan sungai, sangat indah dan sedikit sebanyak melalaikan diri dari kepenatan mengharungi perjalanan yang berliku.










 Selepas mengharungi perjalanan batuan yang memenatkan dan licin selama hampir 3 jam kami tiba di tapak kem perkhemahan untuk dijadikan tapak khemah selama 2 hari, kem yang besar dan agak rata amat sesuai untuk peserta ramai seperti ini. Setibanya di kem, peserta mula bergotong-royong memasang khemah, 'fly', 'ground' selain sudah tidak sabar-sabar ingin merendamkan diri didalam 'pool' air terjun Berkelah yang menghijau. Hanya mata yang mampu menilai keindahan Air Terjun Berkelah ini.




 Perjalanan melalui hutan selesai, khemah sudah didirikan, pakaian mandi juga telah ditukar, aktiviti tiruk,, mandi manda, berendam, menyelam pun bermula. Kepenatan mengharungi perjalanan berkereta, berlori, berjalan tampak berbaloi digambarkan pada wajah peserta setelah tiba ke air terjun yang dikata-katakan akan memberikan sajian menarik. Alhamdulillah juga kerana cuaca cerah mengiringi peserta-peserta selama 2 hari, walaupun mengikut atas kertas hujan bakal melanda. Para peserta sering diingatkan supaya menjaga keselamatan semasa mandi manda dan melakukan sebarang aktiviti disana. Untuk menjamin lagi keselamatan, BKG ada menyediakan 2 helai jaket keselamatan uny]tuk mereka yang tidak pandai berenang.


















Berkibar lah kain rentang Budak Kaki Gunung di puncak Air Terjun Berkelah, terasa puasnya kerana selesai menganjurkan aktiviti ini. Aktiviti ini dianggap berjaya dengan baik dan selamat, semua peserta berpuas hati dan selamat pulang. Ucapan terima kasih dari BKG kepada semua peserta yang mengikuti aktiviti ini, InsyaALLAH kita akan bertemu lagi di lain aktiviti. Segala kekecewaan mahupun ketidakpuashatian, kami BKG memohon maaf dari awal aktiviti hingga ke akhir aktiviti. SUKSESSSSSS.....