Tuesday, July 3, 2012

Chemerong Berembun Lansir (1 - 3 Jun 2012)

Alhamdulillah berjaya aktiviti 1 Jun hingga 3 Jun lalu menawan Gunung Chemerong, Gunung Berembun dan Air Terjun Lansir. Aktiviti kali ini amat berbaloi walaupun bermandi peluh dan memerah kudrat untuk ke destinasi dituju, sesuatu yang amat menarik untuk pendaki-pendaki mencuba ke CBL ini. Apa yang boleh dikatakan disini adalah berbaloi sekiranya ke sini, pasti ada sifat kagum dengan keindahan ciptaan ALLAH ini. 



















Aktiviti ini dianjurkan oleh REDTOP, sebuah kumpulan outdoor dari Bangi. Seorang wakil BKG telah mengikuti aktiviti ini, dari pengalaman beliau ia benar-benar berbaloi dan pengurusan aktiviti dari REDTOP juga bagus selain dapat bertemu rakan-rakan outdoor yang lain. Kami dari BKG berkemungkinan besar akan mengadakan aktiviti ke CBL ini di aktiviti akan datang, InsyaALLAH.


Sentiasa nantikan aktiviti-aktiviti dari BKG dari semasa ke semasa, boleh ikuti kami juga di laman page facebook Budak Kaki Gunung. Segala perancangn sudah dibuat hanya nantikan pembaharuaan dan kemunculan perkara-perkara baru dalam BKG. YEAH!!!







Suka Duka GUNUNG DATUK

Aktiviti kali ini menawan puncak Gunung Datuk Negeri Sembilan, terdiri daripada 2 ahli BKG bersama 6 peserta luar. Aktiviti dijalankan pada 30 Jun 2012 dan berjaya dilaksanakan dengan selamat tanpa sebarang perkara yang tidak diingini, lebih mengembirakan apabila kesemua peserta berjaya menawan puncak gunung biarkan baru pertama kali mencuba aktiviti mendaki ini.






Selepas ini BKG akan mengadakan aktiviti-aktiviti untuk peserta yang baru ingin mencuba sukan lasak mendaki ini, aktiviti yang akan dijalankan untuk mereka ini seperti mendaki Bukit Tabur, Bukit Broga, Sungai Chilling, Gunung Angsi dan lain-lain destinasi yang lebih mudah ditawan. Kepada mereka yang ingin mula mencuba sukan mendaki ini nantikan kemunculan aktiviti-aktiviti akan datang. InsyaALLAH



Sunday, May 13, 2012

Chemerong + Berembun + Lansir (31 Mei - 3 Jun 2012)

Trip yang dibawakan oleh REDTOP ini juga dikenali sebagai  "Trip mendaki sambil bermain air", selain itu ada juga sesi bergambar yang bertemakan " Japanese/Korean " mengikut kreativiti sendiri. Berikut adalah penerangan terperinci mengenai trip ini:

Kos: RM 100 (Guide+Makanan+Peralatan Perkhemahan)
Pengangkutan: Sendiri / Carpool
Tentatif program: ↓↓

10:00pm (31 Mei 2012)
- Berkumpul di stesen LRT Terminal Gombak

11:30pm (31 Mei 2012)
- Perjalanan dimulakan (Lebuhraya Karak - LPT - Laluan Jerangau - Jabor)

6:30am (1 Jun 2012)
- Berhenti Solat Subuh & Sarapan

8:00am (1 Jun 2012)
- Bergerak masuk ke Felda Kampung Raja
- Tiba di Kawasan Hutan Lipur Chemerong
- Senaman, Taklimat & Doa

9:00am (1 Jun 2012)
- Mulakan perjalanan melalui Hutan Lipur

12:00pm (1 Jun 2012)
- Tiba di Kem Balak
- Makan tengahari

1:00pm (1 Jun 2012)
- Mulakan pendakian ke puncak Berembun

5:00pm (1 Jun 2012)
- Tiba di puncak Berembun
- Sesi bergambar

5:30pm (1 Jun 2012)
- Mulakan perjalanan ke tapak perkhemahan Air Terjun Lansir

6:30pm - 10:00pm (1 Jun 2012)
- Tiba di Air Terjun Lansir
- Solat
- Makan malam
- Ice Breaking
- Tidur

6:00am (2 Jun 2012)
- Solat Subuh
- Sunrise
- Sarapan

10:00am (2 Jun 2012)
- Aktiviti mandi manda Air Terjun Lansir
- Sesi Bergambar mengikut tema

1:00pm - 8:00pm (2 Jun 2012)
- Makan tengahari
- Solat Zohor
- Sambung aktiviti
- Solat Asar
- Sunset
- Solat Maghrib

8:00pm - 10:00pm (2 Jun 2012)
- Makan Malam
- Solat Isyak
- Tidur

6:00am (3 Jun 2012)
- Solat Subuh
- Sunrise

7:00pm - 9:00pm (3 Jun 2012)
- Sarapan
- Berkemas
- Senaman ringan
- Doa

10:00pm (3 Jun 2012)
- Mulakan perjalanan turun

1:00pm (3 Jun 2012)
- Makan tengahari

2:00pm (3 Jun 2012)
- Mulakan perjalanan turun ke Air Terjun Chemerong
- Aktiviti mandi manda

5:00pm (3 Jun 2012)
- Tiba di Hutan Lipur Chemerong

6:00pm (3 Jun 2012) 
- Bersurai


** Untuk sebarang pertanyaan mahupun penyertaan sila hubungi no di bawah: ↓↓

Boy: 012-2644013
Apek: 017-6896087


(BKG hanya berkongsi aktiviti kepada semua dan BKG tidak terlibat sama sekali dalam penganjuran aktiviti di atas)


Sunday, February 26, 2012

Gunung Nuang - SME Corp KL Sentral

Alhamdulillah selesai sudah aktiviti pada 25 & 26 Februari yang lalu, semuanya selamat pergi dan balik walaupun aktiviti ini terdapat sedikit pergelutan masa dan masalah kecederaan. Mujur sedikit persediaan yang BKG buat dapat membantu peserta meneruskan jua perjalanan, ini juga di dorong oleh semangat kental peserta sendiri. 


Peserta kali ini seramai 12 orang, terdiri daripada 10 peserta dari SME Corp dan 2 peserta persendirian. Daripada itu hanya seramai 8 orang peserta sahaja yang berjaya menawan puncak gunung tertinggi di Selangor ini yang mempunyai ketinggian 4898 kaki tinggi dari aras laut. Seawal 7:00 pagi peserta diberi sedikit taklimat dan info mengenai Gunung Nuang dan diiringi dengan bacaan doa memohon kesejahteraan ALLAH tuhan mencipta segala alam.





Pada awal perjalanan semuanya bermula seperti yang dirancangkan, peserta juga nampak bersemangat dengan aktiviti kali ini. Perjalanan ke Kem Pacat mula menggugat semangat, mental & fizikal, peserta mula terasa kesukaran trek yang mula memacak hampir 90 darjah. 2 peserta membuat keputusan menarik diri semasa separuh perjalanan ke Kem Pacat setelah hampir 1 jam 30 minit mendaki dari Kem Lolo untuk sekurang-kurangnya sampai ke kem yang juga dikenali sebagai Istana Pacat.




10 peserta selamat tiba ke Kem Pacat lebih kurang pada 12:00 tengahari, peserta mula menampakkan wajah-wajah kepenatan tetapi sedikit pun tidak mencalarkan semangat untuk menawan puncak Gunung Nuang . Perjalanan diteruskan tanpa menoleh kebelakang lagi tetapi kali ini trek benar-benar menduga para peserta sehinggakan seorang lagi peserta menarik diri selepas baru sahaja 10 minit perjalanan dari Kem Pacat.



Pada lebih kurang 2:00 petang peserta tiba di Puncak Pengasih yang juga dipanggil Puncak Kecik, tiba disini mula ada menampakkan permasalahan. Peserta mula kekurangan air dan bergelut untuk mengejar masa, kesukaran trek banyak menggugat peserta. Masalah kelaparan dan kehausan mula menghantui, peserta hanya berbekalkan semangat untuk terus mendaki ke puncak. Kecederaan mula menyerang peserta, 2 peserta wanita mengalami kecederaan lutut dan kuku kaki.

Dalam pergelutan dengan masalah, akhirnya 9 peserta bersama 2 ahli BKG sampai ke puncak dalam kelewatan waktu. Masalah terus dirasai apabila ada peserta terlupa membawa lampu suluh dan kehabisan air minuman. Setelah memikirkan untuk menghadapi masalah yang pasti akan berlaku, BKG menyarankan peserta berehat seketika di puncak untuk mengembalikan semula tenaga yang telah diguna.






Hampir 4:00 petang peserta bergerak turun dari puncak ke tapak khemah di Kem Lolo, masalah air dan kecederaan membuatkan perjalanan ini menghadapi kesukaran. Kumpulan 9 peserta ini berpecah menjadi 2 kumpulan, sekumpulan 5 peserta lebih laju menuruni gunung meninggalkan 4 peserta lain bersama 2 ahli BKG. Ini berikutan masalah kecederaan yang dihadapi, untuk mengurangkan risiko BKG melepaskan seberapa banyak peserta turun lebih awal.

Sekumpulan 4 peserta dan 2 ahli BKG tiba di Kem Pacat lewat 7:00 petang, kami terpaksa mendapatkan air di water point 15 minit menurun dari Kem Pacat. Kami mengambil masa untuk berehat dan cuba mengurangkan masalah kecederaan yang dihadapi peserta. BKG telah menerangkan kepada peserta mengenai apa yang bakal dihadapi semasa perjalanan nanti. Sudah pastinya perjalanan bakal ditempuh pada malam hari dan masalah kekurangan lampu suluh sedikit menyukarkan lagi perjalanan.

BKG mengambil langkah berhati-hati dan tidak terburu-buru semasa perjalanan turun, kami cuba mengelakkan peserta berasa takut dan panik. Cuaca sejuk mula menambah kesukaran perjalanan, bunyi-bunyian hidupan hutan memeriahkan perjalanan. BKG mengambil tindakan berjalan dalam kumpulan untuk mengatasi masalah lampu dan mengurangkan lagi risiko lain. Alhamdulillah semuanya selamat tiba ke tapak khemah dengan selamat walaupun dalam waktu yang agak lewat, lebih kurang 10:30 malam semua 4 peserta selamat tiba.

Ini merupakan pengalaman pertama BKG berjalan dalam malam menuruni Gunung Nuang, syukur semuanya selamat. Pengalaman ini akan diambil untuk mematangkan lagi BKG dalam sukan lasak mendaki gunung ini. Ucapan terima kasih BKG kepada peserta kali ini kerana sudi menggunakan perkhidmatan kami, sekiranya ada kekecewaan dalam tempoh BKG menjadi guider harap dimaafkan dari awal hingga akhir. Kepada yang berjaya menawan puncak, tahniah kami ucapkan dan kepada yang tidak berjaya anggap ini 1 permulaan untuk terus cuba menawan puncak gunung. InsyaALLAH kita berjumpa lagi



Friday, February 24, 2012

Padah mendaki gunung tanpa persediaan. AWAS!


SANTUBONG: Kegirangan sekumpulan 37 penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, mendaki Gunung Santubong tanpa sebarang peralatan lengkap mengundang padah apabila mereka terperangkap dalam kesejukan selama tujuh jam di gunung itu, sebelum diselamatkan, kelmarin.
Sebelum insiden itu, kumpulan penuntut yang membabitkan 10 lelaki dan 27 wanita memulakan pendakian pada jam 9 pagi dan tiba di satu lokasi di gunung itu, pada jam 2 petang kelmarin.

Difahamkan, kebanyakan mereka penuntut tahun satu yang mengambil kesempatan sempena cuti pertengahan semester untuk mengisi masa lapang dengan mendaki gunung berkenaan.
Bagaimanapun, lapan daripada mereka mengambil keputusan berpatah balik dan menunggu di kaki gunung selepas menyedari hari semakin gelap, namun kumpulan berikutnya nekad meneruskan pendakian hingga ke puncak.

Seorang daripada mangsa, Ruzhaziq Mohd Zubir, 19, berkata, dia bersama rakan yang lain tiba di puncak gunung berkenaan pada jam 3 petang sebelum mengambil keputusan untuk turun selepas mendapati keadaan semakin gelap.

Menurutnya, ketika menuruni gunung, seorang daripada rakan mengalami kekejangan otot di kedua-dua lutut menyebabkan pergerakan mereka terbatas. “Pergerakan amat perlahan kerana rakan yang cedera itu terpaksa mengesot ketika menuruni kawasan curam.
“Malah, perjalanan turun dari puncak bertambah perlahan apabila seorang lagi rakan mengalami kecederaan sama,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas diselamatkan.

Ruzhaziq berkata, memandangkan keadaan semakin gelap, mereka terpaksa menghubungi rakan yang sudah tiba di kaki gunung bagi mendapatkan bantuan selepas dua rakan yang cedera tidak berupaya untuk berjalan lagi.
“Saya bersyukur dapat menuruni gunung dengan selamat selepas dibantu pihak berkuasa yang melakukan operasi menyelamat dan kejadian itu memberi pengajaran berguna kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Sabaruddin Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.01 malam dan mengerahkan 19 anggota ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat bermula kira-kira setengah jam kemudian dengan menggunakan trek pendakian di gunung berkenaan.

“Semua penuntut berkenaan ditemui jam 10.13 malam iaitu di ‘Point 7’ pada ketinggian 1,080 dari paras laut dan mangsa pertama tiba di kaki gunung pada jam 11.42 malam diikuti mangsa lain pada jam 12.15 tengah malam. “Dua penuntut yang cedera dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati, kumpulan penuntut terbabit mendaki gunung tanpa sebarang kelengkapan termasuk lampu suluh, bekalan makanan selain tidak dikendalikan jurupandu arah.

Beliau berkata, operasi menyelamat itu turut disertai JPAM, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan polis.

credit: myMETRO


Peringatan dari BKG, setiap aktiviti perlu ada persediaan lengkap. Rancang aktiviti anda dengan teliti, pastikan peralatan kelengkapan aktiviti lengkap disediakan contoh lampu suluh, peti kecemasan dan lain-lain. Kaji dan selidik destinasi yang ingin dituju dan ambil seberapa banyak info yang boleh seperti tempoh perjalanan, tinggi gunung, water point, check point, suhu dan lain-lain. Aktiviti yang melibatkan 1 kumpulan besar perlu dijalankan mengikut rancangan dan jadual yang dibuat untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti melepasi had masa (malam). Paling penting adalah makanan, aktiviti lasak seperti ini memerlukan makanan untuk mengembalikan tenaga. Saranan BKG, bawa coklat bar yang mencukupi untuk mengembalikan tenaga yang banyak digunakan, coklat antara makanan yang mampu membuatkan kita kembali bertenaga. Selain itu bekalkan juga makanan ready made contoh roti, biskut dan lain-lain untuk mudah dibawa dan tidak membebankan. Sekiranya tidak pasti akan keadaan destinasi, gunakan perkhidmatan juru pandu/guider untuk keselamatan yang lebih terjamin. Mereka pastinya lebih arif tentang gunung yang hendak dituju, pastinya juga mereka lebih peka tentang keselamatan.




Thursday, February 23, 2012

Aktiviti: 25 - 26 Februari 2012 Gunung Nuang - SME Corp KL Sentral

Assalammualaikum, Salam 1 Malaysia,


Pada minggu ini BKG sekali lagi akan meng-guide 1 kumpulan terdiri daripada 11 orang peserta yang majoritinya dari SME Corp KL Sentral, 9 lelaki dan 2 wanita dari pihak mereka. Dalam aktiviti kali ini, BKG mempetaruhkan 2 guider untuk membawa kumpulan ini. Ahli yang lain tidak dapat menyertai aktiviti kali ini atas urusan yang lebih penting, turut menyertai aktiviti minggu ini ada 2 orang peserta yang merupakan kenalan.


Kebanyakan peserta dari SME Corp KL Sentral adalah merupakan pendaki-pendaki senior dari BKG, ada yang telah mendaki Gunung Nuang 10 tahun lepas. Perkhidmatan kami diperlukan atas dasar keselamatan yang diutamakan oleh pihak penganjur iaitu Abang Bai, selain melancarkan aktiviti yang cuba dijalankan. InsyaALLAH.


Kami dari BKG mengalu-alukan dan mengucapkan selamat datang ke Gunung Nuang kepada kumpulan SME Corp KL Sentral ini, diharapkan segala apa yang dirancang berjalan dengan baik dan lancar.